Program PICKLESPARK Fasa 1 terima sambutan menggalakkan

27 Jul 2026, 4:29 AM
Program PICKLESPARK Fasa 1 terima sambutan menggalakkan
Program PICKLESPARK Fasa 1 terima sambutan menggalakkan
Program PICKLESPARK Fasa 1 terima sambutan menggalakkan

SHAH ALAM, 27 JULAI: Program Pembangunan Sukan Pickleball Negeri Selangor (PICKLESPARK) 2026/2027 Fasa 1 berjaya dilaksanakan, sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh pembangunan sukan itu di peringkat akar umbi.

PICKLESPARK memaklumkan program pembangunan selama tiga bulan itu menerima sambutan menggalakkan, selain mewujudkan rangkaian kerjasama antara sekolah, agensi kerajaan dan komuniti setempat.

“Sambutan yang diterima daripada pihak sekolah, guru, ibu bapa dan murid amat menggalakkan. Ramai peserta yang sebelum ini tidak pernah mengenali sukan pickleball kini menunjukkan peningkatan kemahiran serta minat yang tinggi untuk terus aktif menyertainya.

“Perkembangan ini membuktikan bahawa pendekatan pembangunan akar umbi melalui institusi pendidikan mampu menjadi platform terbaik dalam melahirkan lebih ramai pemain, jurulatih dan pemimpin sukan pada masa hadapan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya PICKLESPARK, Kursus Kejurulatihan Asas dan Klinik Pembangunan Sukan Pickleball telah dianjurkan di lima zon yang dikenal pasti, melibatkan hampir 100 guru serta 500 murid dan pelajar sekolah.

Tambahnya, modul kejurulatihan yang digunakan pula diolah daripada modul Persatuan Pickleball Malaysia (PPM) bagi memperkukuh kapasiti guru sebagai penggerak utama pembangunan sukan itu di sekolah masing-masing.

EXCO Pembangunan Sukan Mohd Najwan Halimi beramah mesra bersama peserta selepas merasmikan Program Pembangunan Sukan Pickleball Negeri Selangor (PICKLESPARK) di Pickleball Playground, Shah Alam pada 15 Mei 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Sokongan juga diterima daripada pemilik gelanggang pickleball yang menyambut baik inisiatif PICKLESPARK dan membenarkan program Fasa 1 dijalankan di premis mereka,” katanya.

Bagi Fasa 2 hingga Fasa 4, PICKLESPARK merancang untuk memperkukuh pembangunan kompetitif serta ekosistem sukan pickleball di sekolah.

Jelasnya, antara perancangan utama ialah memperluaskan penyertaan sekolah dan komuniti, selain menganjurkan pertandingan serta kejohanan mengikut zon sebagai platform pendedahan kepada persaingan kompetitif.

“Melalui kesinambungan ini, PICKLESPARK dijangka terus menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan pickleball secara lebih menyeluruh, sekali gus menyokong hasrat menjadikan Selangor sebagai hab pembangunan pickleball negara,” katanya.

PICKLESPARK yang dilancarkan EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi pada 15 Mei lalu merupakan inisiatif pertama seumpamanya di Malaysia yang memberi tumpuan kepada pembangunan sukan pickleball di peringkat sekolah.

Program itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri, Majlis Sukan Negeri Selangor, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC), Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta rakan pelaksana.

Program pembangunan berkenaan dijadual berlangsung selama setahun dengan sasaran melibatkan 500 murid berusia antara 10 hingga 15 tahun serta 100 guru dari lima zon di seluruh Selangor.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.