SHAH ALAM, 29 JULAI: Polis menumpaskan tiga sindiket pengedaran vape mengandungi dadah sintetik menerusi tiga operasi khas dengan penahanan 14 individu di sekitar Lembah Klang dan Selangor membabitkan rampasan lebih RM45.6 juta.
Operasi itu dilaksanakan susulan terdapat kes tujuh pelajar sekolah menengah di Sentul yang ditemui tidak sedarkan diri selepas mengambil vape mengandungi dadah sintetik pada 22 Julai lalu, lapor Berita Harian.
Modus operandi sindiket adalah dengan mengimport bekalan dadah termasuk alatan vape secara dalam talian dari luar negara sebelum membuat ikrar borang palsu kononnya barangan itu adalah aksesori dan jus buah selepas diseludup dalam kontena.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata ancaman penyalahgunaan vape yang disyaki mengandungi cecair dadah kini menjadi cabaran baharu dalam landskap jenayah dadah negara.
Menurutnya, JSJN mempergiatkan usaha penguatkuasaan dan risikan di seluruh negara bagi mengesan, membanteras serta melumpuhkan sindiket yang terbabit dalam pengedaran bahan terlarang itu demi melindungi keselamatan masyarakat, khususnya generasi muda.
"Situasi itu semakin membimbangkan susulan kejadian membabitkan tujuh pelajar di Sentul, yang didapati khayal selepas menggunakan vape mengandungi cecair dadah sehingga menyebabkan dua daripada mereka dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
"Fenomena ini amat serius dan memerlukan tindakan tegas bagi mengekang penularan vape mengandungi dadah dalam kalangan masyarakat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras hari ini.
Hussein berkata, dalam Op Kesing yang dijalankan pada 23 Julai lalu, JSJN menumpaskan sindiket yang didalangi warga asing dengan penahanan tiga lelaki tempatan, lima wanita warga asing berusia antara 20 hingga 45 tahun serta seorang lelaki warga asing yang dipercayai ketua sindiket.
"Serbuan di Kajang, Gombak dan Sentul turut membawa kepada rampasan 742.74 kilogram cecair methamphetamine, 1.54 kilogram serbuk methamphetamine, 27.52 kilogram cecair MDMA, 3.38 kilogram serbuk MDMA, 4.16 kilogram ketamin dan 1.54 kilogram pil Erimin 5, pil ekstasi 318 gram, pil Yaba, 21 gram, ganja, 151 gram dan 962 katrij vape cecair MDMA.
"Dalam operasi berasingan pada hari sama, Op Madarini melumpuhkan sindiket yang dipercayai aktif sejak awal tahun ini dan menjadikan rumah di sekitar Lembah Klang sebagai lokasi penyimpanan serta pembungkusan vape mengandungi dadah sebelum dihantar ke luar negara.
"Operasi itu menahan dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia antara 27 hingga 55 tahun.
"Polis turut merampas 1,340 kartrij vape mengandungi cecair MDMA dengan nilai dianggarkan RM402,000," katanya.
Beliau berkata, saringan air kencing mendapati seorang suspek positif dadah jenis amphetamine, manakala semakan rekod jenayah mendapati dua suspek tempatan mempunyai 10 rekod berkaitan kesalahan dadah.
"Semua suspek direman selama tujuh hari bermula 24 hingga esok bagi membantu siasatan.
"Sementara itu, menerusi Op Eristalis yang dijalankan pada 25 Julai lalu, hasil kerjasama JSJN Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sabak Bernam, polis berjaya menggagalkan cubaan sindiket membawa masuk bekalan dadah ke dalam bot sebelum diedarkan ke negara jiran melalui laluan laut.
"Dalam operasi itu, seorang lelaki dan seorang wanita warga asing berusia 26 dan 27 tahun ditahan di sekitar Sabak Bernam," katanya.
Katanya, turut dirampas ialah 4.16 kilogram ketamin, 7.12 kilogram pil ekstasi, 3.04 kilogram pil Erimin 5, 837 gram methamphetamine serta 3,750 kartrij vape mengandungi cecair MDMA.
"Sindiket menjadikan kilang memproses ikan sebagai lokasi penyimpanan dadah sebagai taktik sembunyi aktiviti haram sebelum diedarkan ke negara jiran menggunakan bot melalui jalan laut.
"Nilai rampasan dalam operasi itu dianggarkan mencecah RM2.7 juta," katanya.







