Polis tumpas sindiket vape dadah ke Indonesia, lapan ditahan

10 Jul 2026, 6:19 AM
Polis tumpas sindiket vape dadah ke Indonesia, lapan ditahan
Polis tumpas sindiket vape dadah ke Indonesia, lapan ditahan
Polis tumpas sindiket vape dadah ke Indonesia, lapan ditahan
Polis tumpas sindiket vape dadah ke Indonesia, lapan ditahan

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Polis menumpaskan sindiket pengedaran katrij vape, yang disyaki mengandungi cecair dadah, ke negara jiran menerusi Ops Pijat dengan penahanan lapan warga asing serta rampasan dadah bernilai RM152,400 dalam dua siri serbuan di sekitar Meru dan Kajang, Selangor pada 1 Julai lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata sindiket itu dipercayai mendapat bekalan dadah di Malaysia sebelum diproses dan dibungkus semula untuk dihantar ke Indonesia.

“Sindiket ini dipercayai menjadikan kawasan pedalaman sebagai lokasi operasi bagi mengaburi pihak berkuasa serta mengelakkan kegiatan mereka daripada dikesan.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menjadikan rumah kampung di kawasan pedalaman sebagai lokasi memproses dan membungkus dadah sebelum membuat penghantaran melalui jalan laut menggunakan bot ke negara jiran,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Hussein berkata polis turut merampas 500 peket plastik mengandungi katrij yang disyaki mengandungi dadah jenis MDMA dengan anggaran berat hampir lima kilogram serta lapan botol plastik kecil disyaki mengandungi cecair dadah jenis sama.

Hussein berkata hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada lapan suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala semakan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Mengulas lanjut, Hussein berkata siasatan awal mendapati sindiket yang dipercayai aktif sejak Februari lepas itu telah berjaya membuat beberapa penghantaran ke negara jiran berkenaan.

Beliau berkata semua suspek terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita berumur 21 hingga 40 tahun direman 11 hari bermula dari 1 Julai lepas hingga esok bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.