EXCO: Taman Reka Bentuk IC Selangor bina ekosistem, bukan hanya hub fizikal 

28 Jul 2026, 11:22 AM
EXCO: Taman Reka Bentuk IC Selangor bina ekosistem, bukan hanya hub fizikal 
EXCO: Taman Reka Bentuk IC Selangor bina ekosistem, bukan hanya hub fizikal 

PUCHONG, 28 JULAI:  Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) Malaysia di Puchong bukan hanya pembangunan fizikal tetapi untuk mewujudkan ekosistem lengkap bagi memupuk bakat industri semikonduktor.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han berkata, taman berkenaan dirancang bagi menyokong jurutera sepanjang kerjaya mereka, bermula daripada latihan, pekerjaan, pembangunan produk hinggalah peningkatan kemahiran secara berterusan tanpa perlu meninggalkan ekosistem tersebut.

Langkah ini membolehkan para jurutera menjalani latihan, memperoleh pekerjaan, menghasilkan produk sebenar dan terus menimba ilmu sambil menyumbang kepada teknologi generasi seterusnya.

"Sewaktu kita mula membangunkan Taman Reka Bentuk IC ini, fokus kita bukanlah setakat mendirikan bangunan. Fokus utama kita adalah untuk membina ekosistem hidup bagi jurutera yang melangkah masuk ke sini.

"Satu tempat untuk mereka melatih diri, diambil bekerja, memasarkan produk sebenar, terus belajar dan akhirnya membantu membina kemajuan teknologi masa depan, semuanya tanpa perlu keluar dari ekosistem ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Graduasi dan Penghargaan Bakat Reka Bentuk IC Malaysia yang diadakan sempena sesi taklimat Arm Flexible Access (AFA) di Hotel Four Points by Sheraton, di sini hari ini.

Ng menambah, ekosistem Taman Reka Bentuk IC telah melatih seramai 850 jurutera sepanjang dua tahun lalu, dengan peserta latihan berjaya memperoleh penempatan latihan industri mahupun pekerjaan tetap.

Syarikat yang beroperasi di dalam ekosistem itu turut mengagihkan jawatan secara terus kepada 400 jurutera baharu, dengan graduan menerima gaji permulaan sekitar RM5,000 sebulan.

Ekosistem berkenaan turut disokong oleh lebih 100 rakan universiti tempatan dan antarabangsa, selain berjaya meningkatkan kemahiran seramai 50 pensyarah menerusi program yang dianjurkan.

Kejayaan ini turut didorong oleh Dana Semikonduktor Ehsan bernilai RM100 juta yang ditubuhkan pada November 2025 bagi menyokong syarikat semikonduktor di dalam ekosistem tersebut.

Beliau memaklumkan, Taman Reka Bentuk IC kini menempatkan 18 syarikat dengan dua lagi dijangka menyertai dalam masa terdekat. Tenaga kerja jurutera juga diunjur meningkat daripada 380 orang ketika ini kepada 520 jurutera, sekali gus mengatasi sasaran asal iaitu 450 jurutera menjelang 2026.

"Setiap jurutera yang masuk berjaya menemui tempat bertapak, syarikat untuk berkembang dan kadar gaji yang membolehkan mereka membina kehidupan menerusi kerjaya ini.

"Inilah gambaran sebenar ekosistem yang hidup. Ia bukan sekadar latihan dan kelulusan dokumen, tetapi jurutera melihat sendiri hasil kerja mereka menembusi pasaran," katanya. 

Taman Reka Bentuk IC di Puchong dilancarkan pada Ogos 2024, manakala kemudahan kedua di Cyberjaya mula beroperasi pada November 2025.

Berita penuh di sini

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.