PUCHONG, 28 JULAI: Malaysia perlu memastikan penawaran gaji kompetitif serta prospek kerjaya yang kukuh bagi mengekalkan bakat tempatan dalam sektor semikonduktor, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata, langkah tersebut penting ketika negara bersaing dengan gergasi industri serantau dan global seperti Taiwan serta Singapura.
Mengulas lanjut, beliau mengakui kebanyakan graduan berkemahiran tinggi sering memikirkan peluang kerja yang lebih baik di luar negara, terutamanya di negara yang menawarkan ganjaran kewangan lebih tinggi.
"Apabila kita melihat negara yang bersaing dalam industri semikonduktor seperti Taiwan dan Singapura, memang kelihatan gaji yang ditawarkan di sana lebih tinggi.
"Soalan yang perlu kita jawab ialah mengapa kita berusaha ke arah itu (mengekalkan bakat)? Adakah bakat tempatan kita mampu menikmati peluang yang sama baik jika terus kekal di Malaysia?
"Bolehkah mereka membina kerjaya yang setaraf dengan piawaian global?" katanya ketika berucap pada Majlis Graduasi dan Penghargaan Bakat Akademi Semikonduktor Maju Malaysia (ASEM) di Hotel Four Points by Sheraton, di sini, hari ini.

Akmal menjelaskan, hasrat Malaysia bukan sekadar mahu mengekalkan bakat tempatan, malah berhasrat bergerak lebih jauh ke peringkat atas rantai nilai semikonduktor melalui penyediaan pekerjaan berprestij tinggi dalam reka bentuk cip dan inovasi.
Beliau turut menekankan bahawa Malaysia kini merupakan pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia dengan kekuatan dalam bidang ujian, pembungkusan dan pembuatan, namun negara tidak boleh terlalu selesa dengan kedudukan tersebut.
"Apabila bercakap mengenai semikonduktor, kita perlu meneroka peluang untuk beralih ke aktiviti yang bernilai lebih tinggi.
"Kita tidak boleh sekadar menjadi pengeluar, sebaliknya perlu menjadi inovator dan pencipta," jelas beliau.
Meskipun kerajaan menyedari bahawa tenaga kerja semikonduktor Malaysia secara tradisinya dinilai sebagai berkemahiran tinggi dengan upah berpatutan, beliau menegaskan fokus utama kini adalah untuk meningkatkan nilai ciptaan yang seterusnya dapat menaikkan kadar gaji.

Pakej gaji yang ditawarkan menerusi program seperti ASEM ketika ini berada pada tahap lebih tinggi berbanding purata gaji permulaan graduan baharu, sekali gus memberi dorongan lebih kuat kepada anak muda untuk membina kerjaya di tanah air.
"Saya yakin gaji yang ditawarkan adalah melebihi purata yang diterima graduan biasa. Ini akan memberi dorongan tambahan kepada negara untuk mencapai tahap pendapatan lebih tinggi.
"Anak muda hari ini bukan sahaja melihat faktor gaji, tetapi turut mementingkan gaya hidup serta ekosistem yang sesuai dengan keperluan dan aspirasi mereka. Sebab itu pembangunan ekosistem yang lebih luas adalah sama penting," katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan sedang bekerjasama dengan Arm Ltd, sebuah syarikat reka bentuk semikonduktor dan perisian yang berpangkalan di United Kingdom, bagi memperkukuh ekosistem semikonduktor negara menerusi akses teknologi serta inisiatif pembangunan bakat.
Setakat ini, Malaysia telah menganugerahkan token akses di bawah kerjasama tersebut kepada enam syarikat, masing-masing tiga di bawah program CSS dan Arm Flexible Access, dengan peruntukan masih lagi tersedia.
Kerjasama berkenaan turut melatih seramai 1,530 peserta menerusi platform Arm On-Demand, berbanding sasaran kebangsaan yang ditetapkan sebanyak 10,000 pelatih.
Pada majlis tersebut, seramai 454 peserta diraikan selepas menamatkan latihan khusus dalam reka bentuk Litar Berpadu (IC) dan teknologi tertanam (embedded technology) di bawah Program Kecemerlangan Semikonduktor Kebangsaan (NSEP) serta Program Pertukaran Semikonduktor Global.
Kumpulan graduan yang terdiri daripada penuntut sarjana muda kejuruteraan, graduan baharu dan tenaga kerja profesional itu dilatih dalam bidang reka bentuk IC digital serta analog, sistem tertanam, Embedded IoT dan robotik Kecerdasan Buatan (AI) sebagai persediaan melangkah ke industri semikonduktor negara yang kian berkembang.
Setakat ini, ASEM telah melahirkan lebih 723 alumni, menjalin kerjasama dengan lebih 10 universiti dan institusi penyelidikan antarabangsa, serta berkerjasama dengan lebih 150 rakan industri demi memperkukuh saluran bakat semikonduktor di Malaysia.








