SHAH ALAM, 28 JULAI: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) memperkenalkan INSYSQ (Sistem Penggiliran Kerja Terpadu) sebagai platform digital rasmi bagi memudahkan urusan permohonan dan penggiliran kerja dalam kalangan kontraktor serta pembekal.
Yang Dipertuanya, Dr Ani Ahmad berkata sistem itu mula digunakan pada 1 Julai lalu sebagai platform berpusat untuk menguruskan kerja inden dan pembelian terus secara lebih sistematik.
“Pelaksanaan INSYSQ sebahagian daripada usaha pendigitalan MPSepang bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada kontraktor.
“Platform ini diperkenalkan khusus bagi membolehkan kontraktor menguruskan permohonan dan penggiliran kerja secara lebih teratur menerusi sistem digital yang disediakan MPSepang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Ahli-Ahli Majlis MPSepang di Cyberjaya, baru-baru ini.
Menurut Ani, INSYSQ terbuka kepada kontraktor G1 yang berdaftar di daerah Sepang bagi kategori Bangunan (B) dan Kejuruteraan Awam (CE), selain kontraktor G2 dan G3 yang berdaftar di Selangor bagi kategori Mekanikal dan Elektrikal (ME).
Beliau berkata, sebagai langkah permulaan, kontraktor perlu mendaftar sebagai kontraktor MPSepang menerusi sistem iPMS sebelum mengakses portal INSYSQ untuk mendaftarkan kerja, sekali gus memastikan urusan permohonan dan penggiliran kerja dapat dilaksanakan secara lebih teratur.
Ani berkata, sehingga kini seramai 90 kontraktor telah mendaftar dan menggunakan sistem INSYSQ, sekali gus mencerminkan penerimaan positif terhadap usaha pendigitalan MPSepang dalam memperkemas pengurusan kerja serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan.
Kontraktor boleh melayari sistem INSYSQ di https://emaklum.mpsepang.gov.my/insysq/ untuk urusan pendaftaran kerja serta permohonan penggiliran kerja secara dalam talian.







