SHAH ALAM, 27 JULAI: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) kini berada di peringkat akhir persiapan sebagai tuan rumah bagi beberapa acara Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan.
Yang Dipertuanya, Dr Ani Ahmad berkata kerja menaik taraf fasiliti sukan serta infrastruktur sokongan di enam venue pertandingan kini berjalan mengikut jadual bagi memastikan semua kemudahan siap menjelang temasya.
“Sebanyak enam venue di bawah pentadbiran MPSepang akan menjadi lokasi pertandingan SUKMA 2026, meliputi acara bola sepak lelaki, olahraga, pencak silat, memanah, berbasikal lebuh raya dan berbasikal trek.
"Kami memberi fokus kepada kerja menaik taraf kemudahan sukan dan infrastruktur sokongan termasuk padang permainan, trek olahraga, sistem pencahayaan, laluan pejalan kaki, kawasan parkir serta kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU),” lapor The Star.
Beliau berkata MPSepang turut bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi menyediakan pelan pengurusan trafik dan pengangkutan yang komprehensif, termasuk pemasangan papan tanda arah bagi memastikan pergerakan atlet, pegawai dan penonton berjalan lancar.
Ani berkata penganjuran SUKMA 2026 bukan sahaja menjadi platform mempamerkan kecemerlangan sukan, malah menggalakkan golongan muda mengamalkan gaya hidup sihat, mencungkil bakat baharu serta memupuk nilai disiplin.
Menurutnya, temasya dwitahunan itu turut dijangka merancakkan ekonomi setempat dengan memberi manfaat kepada pengusaha hotel, restoran, perkhidmatan pengangkutan dan sektor pelancongan.
SUKMA edisi ke-22 akan mempertandingkan 469 acara daripada 37 jenis sukan di sembilan daerah, membabitkan 52 venue di seluruh Selangor sepanjang temasya berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos.
Sementara itu, Para SUKMA akan diadakan dari 5 hingga 14 September melibatkan 369 acara daripada 10 jenis sukan, iaitu renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang, memanah, catur, boccia dan powerlifting.







