Jalan KSK Utama ditutup sementara bagi kerja naik taraf saliran

27 Jul 2026, 8:25 AM
Jalan KSK Utama ditutup sementara bagi kerja naik taraf saliran

SHAH ALAM, 27 JULAI: Sebahagian Jalan KSK Utama di Kampung Sungai Kertas, Selayang ditutup sementara bermula hari ini hingga 9 Ogos bagi membolehkan kerja menaik taraf sistem saliran di bawah Projek Tebatan Banjir dilaksanakan.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memaklumkan penutupan melibatkan laluan dari Jambatan Kampung Nakhoda ke Jalan KSK Utama sehingga persimpangan Jalan KSK 2.

Menurut MPS, penutupan sementara itu perlu dilaksanakan bagi memastikan kerja menaik taraf saliran dapat dijalankan dengan lancar, sekali gus mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan alternatif yang disediakan serta mematuhi papan tanda dan arahan lalu lintas sepanjang tempoh pelaksanaan kerja.

"Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui talian hotline 012-200 4368," katanya menerusi Facebook.

MPS turut menyediakan laluan alternatif melalui Jalan Jasa 25, Jalan Besar Kampung Sungai Tua, Jalan Durian, Jalan Manggis dan Jalan KSK 7 di Kampung Sungai Kertas sebelum kembali ke Jalan KSK Utama.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi dan memaklumkan langkah berkenaan diambil demi kemudahan serta keselamatan pengguna jalan raya pada masa hadapan.

"Kesulitan hari ini untuk kemudahan masa hadapan," katanya.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.