
SEPANG, 14 OGOS: Beberapa jalan utama di daerah Sepang akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat bermula Ahad ini hingga 19 Ogos bagi memberi laluan kepada acara berbasikal lebuh raya sempena Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata penutupan jalan akan dilaksanakan dari 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari melibatkan laluan pertandingan yang disertai 142 peserta.
Beliau berkata sebanyak 96 kawasan akan diberi perhatian bagi penugasan kawalan lalu lintas sepanjang acara itu, yang dibahagikan kepada empat zon.
"Empat zon berkenaan ialah Zon A di Jalan Pantai Sepang Putra-Sempadan Tumbuk, Zon B di Jalan Dengkil-Jenderam Hulu, Zon C di Jalan Jenderam-Salak dan Zon D di Jalan Salak Sepang-Sungai Pelek," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata laluan di Persiaran Pantai Sepang Putra, Jalan Kampung Bagan Lalang, Jalan Bukit Bangkong-Tanjung Rhu dan Jalan Tumbuk Sempadan pula akan ditutup pada 16, 17 dan 19 Ogos.
Sementara itu, katanya pada 18 Ogos, lebih banyak penutupan laluan dilakukan termasuk Jalan Banting-Semenyih menghala Dengkil, Pekan Dengkil, Jalan Jenderam Hilir, Jalan Jenderam-Salak, Bandar Baru Salak Tinggi, Jalan Pekan Salak-Lembah Paya, Jalan Sepang Lama dan Jalan Sungai Pelek.
Norhizam berkata Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang dengan bantuan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan serta anggota trafik Ibu Pejabat Kontinjen Selangor akan ditempatkan di persimpangan jalan dan lampu isyarat selain melakukan rondaan serta pemantauan di sepanjang laluan terlibat.
Orang ramai khususnya penduduk sekitar dan pengguna jalan raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal selain menggunakan laluan alternatif bagi mengelak kesesakan.
SUKMA Selangor 2026 dijadualkan berlangsung esok (15 Ogos) hingga 24 Ogos manakala Para SUKMA 2026 akan diadakan dari 5 hingga 14 September.







