SK Puncak Alam 2 batal sesi petang akibat kebakaran hutan

27 Jul 2026, 8:07 AM
SK Puncak Alam 2 batal sesi petang akibat kebakaran hutan
SK Puncak Alam 2 batal sesi petang akibat kebakaran hutan

SHAH ALAM, 27 JULAI: Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 2 membatalkan sesi persekolahan petang hari ini susulan kebakaran hutan di belakang sekolah yang menyebabkan kawasan sekitar diselubungi asap.

Pihak pengurusan sekolah memaklumkan keputusan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga selepas mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan murid serta warga sekolah.

"Kebakaran hutan di belakang SK Puncak Alam 2 menyebabkan kawasan sekolah dipenuhi asap dan berpotensi menjejaskan kesihatan serta keselamatan warga sekolah.

"Justeru, sesi persekolahan petang hari ini dibatalkan sebagai langkah pencegahan bagi melindungi kebajikan semua murid," menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini.

Pihak sekolah berkata keadaan akan terus dipantau dan sebarang perkembangan atau arahan baharu akan dimaklumkan menerusi saluran komunikasi rasmi sekolah.

Ibu bapa dan penjaga turut diminta memastikan anak-anak berada di rumah, mengurangkan aktiviti di luar jika keadaan berjerebu atau berasap, selain memantau tahap kesihatan mereka terutama yang mempunyai masalah pernafasan.

Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Ashbar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran hutan berhampiran sekolah itu pada jam 10.06 pagi.

Beliau berkata kebakaran membabitkan kira-kira dua ekar kawasan hutan di atas bukit, dengan operasi memadam kebakaran dijalankan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya bersama Pasukan Bomba Sukarela Saujana Utama.

Gambar dan video kebakaran di Lorong Gugusan 7/20, Puncak Alam sebelum itu tular di media sosial.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.