SHAH ALAM, 27 JULAI: Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 2 berdepan detik cemas apabila kebakaran melanda kawasan hutan di sebuah bukit berhampiran sekolah itu, pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.06 pagi sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dikerahkan ke lokasi.
Menurut Ashrul Riezal Ashbarm operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saujana Utama.
“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan kawasan hutan di sebuah bukit seluas kira-kira dua ekar.
“Anggota sedang membina selang api (firebreak) bagi menghalang kebakaran daripada terus merebak, manakala kerja pemadaman dijalankan dengan bantuan PBS Saujana Utama,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, gambar dan video kejadian di Lorong Gugusan 7/20, Puncak Alam tular di media sosial selepas dikongsikan penduduk setempat.
Kejadian itu turut mengundang kebimbangan ibu bapa memandangkan lokasi kebakaran terletak bersebelahan SK Puncak Alam 2 dan berhampiran kawasan perumahan.






