SHAH ALAM, 10 APRIL: Sebanyak 15 kediaman setinggan yang diduduki warga Indonesia di kawasan ladang kelapa sawit dirobohkan dalam satu operasi bersepadu oleh pihak berkuasa, kelmarin.
Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor memaklumkan penempatan tidak sah yang berselindung di kawasan berkenaan dikesan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 2 dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Puncak Alam 2.
"Operasi bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari itu dilaksanakan Unit Penguatkuasaan PDT Kuala Selangor susulan kesalahan pendudukan tanah kerajaan secara haram di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara," katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Menurutnya, selain 15 kediaman tidak kekal, empat struktur stor turut dirobohkan dalam operasi berkenaan yang dijalankan tanpa sebarang gangguan daripada mana-mana pihak.
"Operasi turut membabitkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pihak sekolah terlibat," katanya.
Dalam pada itu, PDT Kuala Selangor turut merakamkan penghargaan atas kerjasama pelbagai jabatan dan agensi yang terlibat sepanjang operasi tersebut.
"PDT Kuala Selangor akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi membendung masalah pendudukan tidak sah atas mana-mana tanah kerajaan bagi menjamin pembangunan holistik di dalam Daerah Kuala Selangor," katanya.









