KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Walaupun perlumbaan Formula Satu (F1) hanya akan kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober ini, keterujaan terhadap kemunculan semula Malaysia dalam kalendar perlumbaan itu sudah mula dirasai di platform media sosial.
Sejurus Formula One (F1) dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan Malaysia akan kembali menjadi tuan rumah perlumbaan F1 menerusi Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air yang dijadual berlangsung di SIC dari 2 hingga 4 Okt, beberapa pasukan F1 mula berkongsi karya grafik bertemakan Malaysia, paparan nostalgia serta video khas bagi meraikan kepulangan Sepang ke dalam kalendar perlumbaan dunia.
SIC pernah menjadi tuan rumah Grand Prix Malaysia selama 19 edisi berturut-turut dari 1999 hingga 2017.
Terkenal dengan litar sepanjang 5.543 kilometer yang mempunyai selekoh berkelajuan tinggi serta keadaan cuaca tropika yang sukar diramal, Sepang kekal diiktiraf sebagai antara litar paling ikonik dalam sejarah F1.
Pasukan Mercedes-AMG Petronas Formula One antara yang paling awal meraikan pengumuman itu apabila memuat naik video santai menampilkan pemandunya, George Russell dan Kimi Antonelli, dengan kapsyen "Sepang hype starts right now".
Perkongsian itu lebih bermakna memandangkan Petronas merupakan rakan kongsi gelaran dan teknikal Mercedes sejak 2010, selain bersama-sama membangunkan pelincir, bahan api berprestasi tinggi dan teknologi mampan.
Menerusi video itu, Russell menyifatkan Sepang sebagai litar yang "amat hebat" serta mengakui ia sentiasa menjadi antara litar kegemarannya untuk dipandu menerusi simulator sejak kecil. Beliau turut melahirkan keterujaan untuk beraksi di negara asal rakan kongsi utama pasukannya, Petronas.
Antonelli pula menyifatkan Sepang sebagai sebuah litar yang "luar biasa". Walaupun belum pernah memandu di litar itu, beliau berkata pengalaman di litar itu menerusi simulator, sudah cukup membuatkan beliau tidak sabar untuk beraksi di Sepang.
Russell dan Antonelli mewakili generasi baharu pemandu F1 yang membesar dengan menyaksikan perlumbaan dramatik Sepang dalam keadaan hujan lebat dan selekoh berkelajuan tinggi menerusi siaran televisyen, namun hanya menyertai F1 selepas Grand Prix Malaysia digugurkan daripada kalendar perlumbaan.
Bagi sebahagian besar generasi itu, Sepang hanya dikenali menerusi simulator perlumbaan dan rakaman arkib.

Mercedes turut mengimbau nostalgia menerusi hantaran Instagram bertajuk "Magic in Malaysia: Sepang Memories" yang memaparkan 15 gambar daripada pelbagai edisi Grand Prix Malaysia.
Ferrari, Red Bull Racing dan Audi turut menyertai sambutan itu dengan berkongsi karya grafik bertemakan Malaysia sebagai penghormatan kepada kepulangan Sepang ke dalam kalendar F1.
Keterujaan di media sosial itu turut mengimbau semula beberapa detik paling bersejarah yang pernah mewarnai perlumbaan F1 di Sepang.
Antaranya ialah Grand Prix Malaysia 2016 apabila jentera Mercedes yang dipandu Lewis Hamilton mengalami kegagalan enjin ketika sedang mendahului perlumbaan dengan hanya berbaki 15 pusingan.
Insiden itu menjadi titik perubahan penting dalam perebutan kejuaraan dunia musim berkenaan apabila memberi kelebihan kepada rakan sepasukannya ketika itu, Nico Rosberg.
Sepang turut menjadi saksi antara perlumbaan paling dramatik dalam sejarah F1 pada 2009 apabila hujan monsun yang lebat memaksa perlumbaan dihentikan selepas 31 pusingan.
Perlumbaan tidak dapat disambung semula, manakala pemandu Ferrari, Kimi Räikkönen, mencuri perhatian apabila dilihat menukar pakaian perlumbaan kepada seluar pendek sambil menikmati aiskrim ketika perlumbaan masih digantung secara rasmi.
Sepang turut mengukir sejarah F1 apabila Sebastian Vettel masih memegang rekod terpantas litar dengan catatan 1:34.080 saat yang dilakukan bersama Ferrari pada Grand Prix Malaysia 2017, selain muncul sebagai pemandu paling berjaya di Sepang dengan empat kemenangan.
Perlumbaan F1 terakhir di Sepang sebelum Malaysia meninggalkan kalendar F1 dimenangi pemandu Red Bull Racing, Max Verstappen.
Hampir sedekad selepas F1 kali terakhir berlumba di Malaysia, tradisi minggu perlumbaan yang sinonim dengan karya grafik eksklusif, video promosi dan paparan nostalgia kini kembali mewarnai media sosial, jauh sebelum jentera F1 menggegarkan Sepang sekali lagi.
Bekas pemandu F1 negara, Alex Yoong, berkata keterujaan terhadap kepulangan F1 ke Malaysia bukan sahaja dirasai peminat muda, malah seluruh komuniti perlumbaan antarabangsa.
"Para pemandu pasti akan menikmatinya dan sebahagian besar warga paddock sememangnya gemar datang ke Malaysia untuk Grand Prix," katanya kepada Bernama.
Walaupun perlumbaan hanya akan berlangsung pada Oktober, kepulangan Formula Satu ke Malaysia sebenarnya telah pun bermula menerusi sambutan hangat di platform digital.







