PUTRAJAYA, 30 JULAI: Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berperanan penting dalam membentuk dasar kerajaan sepanjang pandemik Covid-19 dengan mengimbangi usaha melindungi nyawa rakyat dan memastikan ekonomi terus berfungsi, kata bekas ketua perangkawan Malaysia.
Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata keadaan itu membuktikan mengapa statistik rasmi yang dipercayai dan bebas amat penting dalam penggubalan dasar negara.
Krisis kesihatan yang belum pernah berlaku sebelum ini memperlihatkan kepentingan membuat keputusan berasaskan bukti apabila pembuat dasar bergantung kepada data ekonomi dan sosial yang tepat pada masanya untuk menilai kesan sekatan pergerakan serta merancang langkah pemulihan.
"Ketika krisis itu berlaku, terdapat ketidaktentuan dalam mengimbangi antara kesihatan awam dan kelangsungan hidup rakyat. Jika keputusan dibuat hanya berdasarkan pertimbangan kesihatan, ekonomi akan terhenti," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Media Selangor baru-baru ini.
Mohd Uzir berkata DOSM menyediakan data penting mengenai pekerjaan, perniagaan, perdagangan, rantaian bekalan dan kesan ekonomi akibat sekatan pergerakan, sekali gus membolehkan kerajaan menilai kesan pelbagai pilihan dasar sebelum membuat keputusan.
Antara lain, DOSM menilai tempoh perniagaan mampu bertahan sepanjang sekatan berpanjangan, menganggarkan jumlah pekerja yang terjejas, menganalisis industri penting serta menyediakan bukti bagi menyokong langkah seperti program subsidi upah.

"Apabila kerajaan mahu memperkenalkan subsidi upah, kerajaan perlu mengetahui berapa ramai pekerja yang akan terlibat dan sama ada peruntukan yang disediakan mencukupi. Itulah angka yang kami sediakan," katanya.
Beliau berkata pengalaman ketika pandemik menunjukkan keperluan mewujudkan sistem statistik negara yang lebih kukuh, sekali gus membawa kepada usaha meningkatkan penyelarasan antara DOSM dengan agensi kerajaan lain menerusi Rang Undang-Undang Perangkaan 2026.
Rang undang-undang baharu itu akan menggantikan Akta Perangkaan 1965 yang lapuk dan bertujuan menghasilkan data negara yang lebih tepat serta menyeluruh meliputi aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar.
Mohd Uzir berkata perundangan itu akan memperkukuh peranan DOSM sebagai penyelaras dengan menetapkan piawaian bersama bagi tadbir urus data, klasifikasi dan kualiti data merentas kementerian serta agensi, sambil memastikan setiap agensi kekal bertanggungjawab terhadap data masing-masing.
Data dipercayai perkukuh penggubalan dasar
Ketika ditanya mengenai prestasi Malaysia dalam penarafan statistik global, beliau berkata pencapaian itu penting bukan kerana kedudukannya, tetapi kerana ia mencerminkan kredibiliti dan kebebasan DOSM.
"Ia bukan soal menjadi nombor satu. Apa yang penting ialah maknanya kepada negara, masyarakat dan rakyat," katanya.
Malaysia menduduki tempat pertama daripada 197 negara dalam Open Data Inventory 2024/2025 di bawah kepimpinan Mohd Uzir dengan memperoleh skor keseluruhan 90 daripada 100 dan 99 daripada 100 bagi keterbukaan data, mengatasi Singapura, Finland dan Denmark.

Beliau berkata pelabur dan agensi penarafan kredit lebih yakin terhadap negara yang menghasilkan statistik rasmi melalui institusi profesional, bebas dan tidak berpihak. Keadaan itu membolehkan keputusan perniagaan serta pelaburan dibuat berdasarkan data yang boleh dipercayai, bukannya pertimbangan politik.
"Pemimpin politik datang dan pergi, tetapi institusi mesti kekal kukuh. Apa yang penting ialah budaya institusi kerana orang ramai mesti sentiasa boleh bergantung kepadanya untuk mendapatkan statistik ekonomi dan sosial yang dipercayai," katanya.
Saintis data yang berkhidmat di DOSM selama 36 tahun, termasuk sembilan tahun sebagai Ketua Perangkawan, turut menjadikan Pangkalan Data Utama (PADU) sebagai contoh bagaimana penyepaduan data dapat meningkatkan penggubalan dasar.
Platform itu dibangunkan bagi memberi gambaran lebih terperinci mengenai isi rumah dan individu kepada pembuat dasar, sekali gus membolehkan program kerajaan serta bantuan disasarkan dengan lebih tepat.
"Kita boleh mengenal pasti dengan tepat kumpulan yang terjejas, lokasi mereka dan jumlah individu yang memerlukan bantuan.
"Ini bermakna dasar dan program boleh dilaksanakan dengan lebih berkesan tanpa perbelanjaan yang tidak perlu," katanya.







