Projek TEDUH: Lima PBT siap bina kawasan rehat penunggang p-panggilan

27 Jul 2026, 4:00 AM
Projek TEDUH: Lima PBT siap bina kawasan rehat penunggang p-panggilan
Projek TEDUH: Lima PBT siap bina kawasan rehat penunggang p-panggilan

SHAH ALAM, 27 JULAI: Fasa pertama Projek TEDUH (Tempat Elok untuk Hentian) membabitkan lima pihak berkuasa tempatan (PBT) telah siap dan kini beroperasi sepenuhnya.

EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Muhammad Fahmi Ngah berkata kawasan rehat selamat untuk penunggang p-panggilan itu telah disediakan di Petaling Jaya, Shah Alam, Subang Jaya, Selayang dan Sepang.

“Majlis pelancaran akan dilakukan dalam masa terdekat tetapi kawasan rehat ini telah boleh diguna pakai sepenuhnya oleh penunggang p-panggilan sementara menunggu pesanan.

“Kawasan rehat ini berbumbung dan ada kerusi untuk mereka berehat atau baring, ada kipas dan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV),” katanya kepada Media Selangor.

Dalam pada itu, Muhammad Fahmi berkata tujuh lagi PBT akan melaksanakan projek berkenaan tahun ini bagi memastikan lebih ramai penunggang p-panggilan menerima manfaat.

EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Tahun ini akan ada tujuh lagi disiapkan PBT. Dana kita telah berikan RM30,000 kepada setiap PBT dan selebihnya mereka akan tambah. Kita mahu mereka tunggu pesanan dengan selesa, bukan tepi-tepi kedai.

“Buat masa ini, kita tengok dulu sambutan dan jika ada keperluan akan tambah lagi kawasan rehat ini,” ujarnya.

Tahun lalu, Muhammad Fahmi mengumumkan Kerajaan Negeri akan melaksanakan Projek TEDUH sebagai kawasan rehat selamat untuk penunggang p-panggilan selepas penghantaran barangan atau ketika menunggu pesanan baharu.

Menurutnya, projek itu dilaksanakan di lima majlis bandar raya dan majlis perbandaran sebagai usaha menjaga keselamatan serta kesejahteraan komuniti terbabit.

Kemudahan yang disediakan merangkumi pengecas telefon bimbit, bangku untuk berehat atau tidur, kipas, bekalan air dan elektrik serta kamera litar tertutup (CCTV) bagi menjamin keselamatan.

Semalam, Media Selangor melaporkan penunggang penghantaran makanan dan p-panggilan di Klang bakal menikmati kemudahan hentian khas apabila Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) membina MBDK@Teduh di Jalan Teluk Pulai bagi menyediakan ruang berehat yang lebih selesa ketika menunggu tempahan.

Datuk Bandar Klang Datuk Abd Hamid Hussain berkata projek bernilai kira-kira RM150,000 itu dibiayai menerusi peruntukan MBDK sebanyak RM120,000, manakala baki RM30,000 disalurkan melalui geran Kerajaan Negeri.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.