SHAH ALAM, 1 OKT: Usaha Kerajaan Negeri menyediakan kawasan rehat yang lengkap dengan kemudahan membantu pemandu p-panggilan berasa lebih selamat.
Mohd Aizad Fahmi Rizal,20, berkata berbanding berhenti di tepi jalan, projek “TEDUH” (Tempat Elok untuk Hentian) dapat mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.
“Saya jadi ‘rider’ dalam enam bulan, sebelum ini bekerja dengan bapa saudara di pasar malam. Sudah pasti inisiatif ini membuat saya berasa lebih selamat untuk berteduh terutama ketika hujan.

“Ini kerana kadang-kadang apabila terpaksa berhenti ketika hujan, kenderaan lain terutama lori laju tidak memikirkan keselamatan orang lain,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, R.Vishnu,31, berkata inisiatif Kerajaan Negeri itu amat baik kerana sememangnya ruang rehat sedemikian amat kurang sehingga golongan tersebut terpaksa berteduh di kawasan dirasakan selamat.

“Pelaksanaan kawasan rehat selamat memang kurang dan kami kadang-kadang berteduh di tepi jalan atau perhentian bas jika hujan atau penat.
“Ada masanya kami terpaksa menghantar pesanan agak jauh dan bekerja 12jam, sudah pasti kawasan rehat seperti ini membolehkan kami dapat berehat selain berasa selamat,” katanya.
Bagi Haikal Alias,29, beliau berharap inisiatif itu dapat disegerakan terutama pada waktu ini cuaca sering hujan atau terlalu panas.

“Sebagai individu yang menghabiskan seharian di atas jalan raya, sudah pasti berasa penat dan memerlukan tempat berteduh yang selamat.
“Kadang-kadang kami terpaksa berteduh hingga 30 minit di kawasan bahaya atau kurang selamat, dengan adanya ruangan seperti ini tidak terlalu khuatir,” katanya.
Baru-baru ini, EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Muhammad Fahmi Ngah memaklumkan Kerajaan Negeri bakal melancarkan Projek “TEDUH” sebagai kawasan rehat selamat untuk pemandu p-panggilan.
Projek berkenaan dilaksanakan di lima pihak berkuasa tempatan pada fasa pertama sebagai usaha menjaga keselamatan serta kesejahteraan komuniti terbabit.
Katanya, kemudahan yang disediakan termasuk pengecas telefon bimbit, bangku untuk berehat dan tidur, kipas, bekalan air, elektrik serta kamera litar tertutup (CCTV) bagi menjamin keselamatan.