KLANG, 26 JULAI: Program SMG Mega Mangrove Cleanup 2026 menghimpunkan seramai 1,615 peserta daripada pelbagai agensi sempena sambutan Hari Bakau Sedunia di Mangrove Point, Hutan Simpan Kekal Raja Lumu, hari ini.
Program anjuran Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) menerusi inisiatif Selangor Maritime Gateway (SMG) itu turut mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
Pengarah Urusannya, Syaiful Azmen Nordin berkata pengiktirafan itu diberikan atas penyertaan tertinggi dalam program pembersihan hutan paya bakau, sekali gus mengiktiraf usaha pemuliharaan ekosistem bakau di Selangor.
Katanya, program bertemakan "Restoring Ecosystems, Renewing Futures" itu merupakan inisiatif pemuliharaan hutan paya bakau berskala besar pertama dianjurkan di kawasan seluas 70 ekar di bawah inisiatif SMG.

"Penyertaan seramai 1,615 peserta pada program ini mencerminkan peningkatan kesedaran dan komitmen masyarakat terhadap kepentingan memelihara alam sekitar. Kira-kira 70 peratus peserta terdiri daripada sektor korporat, manakala bakinya membabitkan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, sukarelawan tempatan serta peserta antarabangsa.
"Pengiktirafan MBOR ini bukan sekadar satu pencapaian, malah membuktikan usaha pemuliharaan alam sekitar mampu dilaksanakan dengan jayanya menerusi kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti.
"Setiap anak pokok bakau yang ditanam serta setiap sisa yang dikutip memberi sumbangan kepada pemulihan kesihatan ekosistem Sungai Klang. Ini membuktikan usaha kolektif semua pihak mampu memberikan impak besar terhadap kelestarian alam sekitar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program berkenaan di sini hari ini yang dirasmikan oleh Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan disaksikan EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim.
Pada majlis sama, Syaiful berkata peserta berjaya menanam sebanyak 1,000 anak pokok bakau, selain mengumpulkan 5,350 kilogram (kg) sisa buangan yang terdiri daripada botol plastik, beg plastik, botol kaca, tin aluminium, bekas polistirena serta pelbagai sisa domestik lain.
Tambahnya, sejak inisiatif pembersihan kawasan bakau dilaksanakan pada 2023 hingga hari ini, sebanyak 51,227 kg sisa buangan berjaya dikutip menerusi pelbagai program di bawah SMG.

Selain program berskala besar hari ini, jelasnya, hampir setiap minggu terdapat syarikat korporat, pelajar universiti dan sekolah yang datang menjalankan aktiviti penanaman bakau serta pembersihan kawasan di bawah inisiatif SMG.
"Kita bercadang menjadikan SMG Mega Mangrove Cleanup sebagai acara tahunan memandangkan program ini menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai.
"Melalui penganjuran yang lebih kerap, kita berharap kawasan hutan paya bakau ini dapat terus dipelihara dan bebas daripada sampah yang dihanyutkan sungai. Kita mahu memperluaskan lagi usaha ini supaya lebih ramai masyarakat terlibat dalam pemuliharaan alam sekitar.
"Harapan kita supaya masyarakat menerapkan budaya menangani pencemaran dari puncanya. Jika semua pihak lebih bertanggungjawab menguruskan sisa domestik, kita tidak lagi memerlukan program pembersihan berskala besar seperti ini," katanya.
Selain mencatat rekod MBOR, majlis turut menyaksikan pelancaran identiti korporat baharu LLSB sebagai simbol komitmen syarikat memperkukuh agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam usaha mentransformasikan Sungai Klang sebagai pemangkin pembangunan mampan Selangor.










