JAIS catat rekod MBOR himpun 500 peserta jalani latihan keselamatan masjid

25 Apr 2026, 2:10 PM
JAIS catat rekod MBOR himpun 500 peserta jalani latihan keselamatan masjid

SHAH ALAM, 25 APRIL: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) apabila berjaya menghimpunkan kira-kira 500 peserta bagi latihan keselamatan dan kesihatan berskala besar di institusi masjid.

Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata pengiktirafan bagi kategori Penyertaan Terbanyak Dalam Latihan Kesihatan dan Keselamatan di Masjid, bersempena dengan Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja.

“Penganjuran program ini inisiatif penting JAIS dalam memberi pendedahan dan kesedaran kepada pengurusan masjid seluruh Selangor berkaitan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan kerana masjid turut menjadi pusat aktiviti masyarakat selain ibadah.

“Aspek keselamatan dan kesihatan tidak boleh dipandang ringan dan menerusi program seperti ini, kita membuka ruang kepada pihak masjid memahami garis panduan, amalan terbaik serta langkah pencegahan yang boleh dilaksanakan di masjid masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada program itu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Hazlina Yon serta imam besar masjid Datuk Muhammad Farhan Wijaya.

Mohd Shahzihan berkata latihan bertemakan “Selamat untuk Jemaah, Sempurna untuk Ibadah” melibatkan penyertaan petugas jabatan, nazir, ahli jawatankuasa masjid seluruh negeri, wakil agensi kerajaan serta warga universiti.

Usaha itu juga bertujuan mengarusperdanakan budaya keselamatan dalam ekosistem pengurusan rumah ibadah moden sekali gus memastikan tahap kesiapsiagaan tinggi dalam menghadapi risiko kecemasan seperti kebakaran atau kemalangan yang mungkin berlaku dalam kawasan premis.

Dalam pada itu, Hazlina berkata Selangor mencatatkan tujuh kes kematian di tempat kerja dari Januari hingga Mac tahun ini, dengan sektor pembinaan menjadi penyumbang tertinggi dengan lima kes manakala selebihnya di kuari dan sektor penyimpanan.

“Pemerhatian mendapati jumlah kes maut di tempat kerja di Selangor menunjukkan sedikit penurunan berbanding tempoh sama tahun sebelumnya namun penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa.

“Secara keseluruhan, statistik kecederaan maut merekodkan 418 kes pada 2024 dengan sektor pembinaan mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 101 kes, menunjukkan sektor itu industri paling berisiko tinggi dan memerlukan perhatian lebih mendalam semua pihak terlibat,” katanya.

Hazlina berkata kerjasama antara agensi penting untuk menyebarkan kesedaran keselamatan hingga ke peringkat komuniti.

Beliau berkata masjid sebagai pusat komuniti juga perlu memberi perhatian serius terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan termasuk pengurusan risiko serta kesiapsiagaan kecemasan.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.