Dokumentasi Rohingya perlu disusun semula demi pengurusan lebih berkesan

26 Jul 2026, 7:00 AM
Dokumentasi Rohingya perlu disusun semula demi pengurusan lebih berkesan

SHAH ALAM, 26 JULAI: Kerajaan disaran menyemak semula proses dokumentasi pelarian Rohingya bagi memastikan pengurusan komuniti itu lebih sistematik serta memudahkan penyelarasan oleh agensi berkaitan.

Ahli Majlis Zon 19 Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Mohammad Firdaus Babh berkata semakan itu termasuk mengesahkan semula maklumat pemegang dokumen pelarian bagi memastikan rekod yang lebih tepat dan terkini.

"Saya berharap proses dokumentasi pelarian dapat disemak semula. Mereka yang berdaftar perlu melalui proses pengesahan semula supaya kerajaan mempunyai rekod yang lebih tepat dan pengurusan mereka dapat dibuat dengan lebih teratur," katanya kepada Media Selangor.

Dalam pada itu beliau berkata kewujudan sebuah klinik yang sebelum ini dibiayai dana antarabangsa di Pandan Mewah turut menjadi antara faktor kawasan itu menjadi tumpuan warga Rohingya untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

"Sebelum ini terdapat sebuah klinik yang dibiayai melalui dana antarabangsa untuk memberikan perkhidmatan kesihatan kepada warga asing di Pandan Mewah.

"Apabila kemudahan itu diwujudkan, kawasan ini menjadi tumpuan pelarian Rohingya," katanya.

Ahli Majlis Zon 19 Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Mohammad Firdaus Babh

Menurutnya, pemimpin tempatan hanya mampu menguruskan aduan penduduk serta menyelaras isu di peringkat komuniti kerana sebarang tindakan berkaitan status pelarian berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan.

Firdaus berkata pihaknya telah berulang kali mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk UNHCR dan komuniti Rohingya bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu yang sering dibangkitkan penduduk.

"Kami telah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan UNHCR dan komuniti Rohingya bagi mencari penyelesaian, namun urusan berkaitan status pelarian tetap di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan," ujarnya.

Beliau menambah pihaknya juga pernah mengadakan program saringan serta pendidikan berkaitan tuberkulosis (TB) dalam komuniti Rohingya selepas beberapa kes dikesan di kawasan itu.

Menurutnya, langkah tersebut diambil bagi mengawal penularan penyakit berjangkit dan melindungi kesihatan penduduk tempatan, selain meningkatkan kesedaran mengenai aspek kebersihan dan pencegahan penyakit.

"Apabila melibatkan penyakit berjangkit, ia tidak mengenal bangsa atau kewarganegaraan. Sebab itu usaha pencegahan perlu dilaksanakan bagi melindungi kesihatan masyarakat secara keseluruhan," katanya.

Beliau berharap kerajaan dapat meneliti semula mekanisme pengurusan pelarian supaya isu yang berlarutan dapat ditangani secara lebih menyeluruh tanpa menjejaskan ketenteraman penduduk setempat.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.