SHAH ALAM, 26 JULAI: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menawarkan pelbagai insentif dan promosi khas sempena Sambutan Ulang Tahun Kelimanya tanda penghargaan kepada warga daerah itu.
Antara tawaran istimewa termasuk pengunjung boleh mendapatkan tiket Trem Bukit Malawati berharga RM2 dan tiket Sampan Kelip-Kelip Kampung Kuantan bernilai RM50 sepanjang tempoh promosi ditawarkan pada 8 Ogos.
Selain itu, tawaran RM10 kompaun letak kereta sebelum tindakan mahkamah dari 1 Ogos hingga 30 September serta pengurangan kompaun pelbagai MPKS sebanyak 50 peratus bagi semua kesalahan.
“MPKS turut menawarkan pengurangan Notis E dan Waran F sebanyak 100 peratus serta pengecualian denda lewat sewa premis sebanyak 100 peratus,” katanya di Facebook.
Orang ramai juga berpeluang menikmati pengecualian bayaran proses pindah milik, selain kemudahan parkir percuma di seluruh kawasan parkir berbayar dalam daerah Kuala Selangor pada 7 Ogos.
MPKS turut menjemput orang ramai memeriahkan Karnival Jom Santai Kuala Selangor 2026 yang berlangsung pada 7 dan 8 Ogos di Dataran Malawati, Kuala Selangor.
“Inisiatif berkenaan sebahagian usaha menghargai sokongan masyarakat terhadap pembangunan Kuala Selangor.
“Orang ramai diseru memanfaatkan tawaran istimewa yang disediakan mengikut tempoh ditetapkan dan mengikuti media sosial rasmi MPKS untuk maklumat lanjut mengenai syarat dan aktiviti berkaitan,” katanya.







