ad

Projek Eco Melati berpotensi jadi model pertanian moden di IPT

15 Nov 2025, 7:19 AM
Projek Eco Melati berpotensi jadi model pertanian moden di IPT
Projek Eco Melati berpotensi jadi model pertanian moden di IPT

SHAH ALAM, 15 NOV: Projek Eco Melati inisiatif mahasiswi Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini berjaya membangunkan sistem hidroponik dan akuaponik dengan hasil memberangsangkan yang berpotensi dijadikan model pertanian moden di institusi pengajian tinggi (IPT) lain.

EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim berkata projek rintis yang bermula hampir dua tahun lalu itu membuktikan komitmen tinggi mahasiswi dan pensyarah dalam melaksanakan konsep pertanian moden secara teori dan praktikal.

“Ini satu projek rintis yang berjaya. Saya lihat kesungguhan para mahasiswi yang menguruskan keseluruhan operasi ini. Dengan komitmen yang ada, kita yakin ia boleh diperluas dan dijadikan model pertanian moden di institusi pengajian tinggi.

“Sudah dua tahun mereka usahakan dengan bantuan sokongan daripada Kerajaan Negeri dan juga Jabatan Pertanian serta Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) berjaya membangunkan sistem hidroponik dan juga aquaponik di sini untuk dimajukan,” katanya selepas merasmikan Kebun Akuaponik Eco Melati di sini, hari ini.

Menurut Izham, peluasan projek itu akan melibatkan penambahan sistem akuaponik dan hidroponik berskala besar, selain memperkenalkan tanaman bernilai tinggi, Melon Selangor (MeloSel), yang kini mendapat permintaan kukuh di pasaran.

“Melosel ini terkenal dan bernilai tinggi. Jika diurus dengan baik, hasilnya sangat menguntungkan. Kita melihat potensi untuk memperkenalkannya di sini sebagai tambahan kepada sistem sedia ada,” ujarnya.

Izham turut menegaskan pertanian moden bukan sekadar penggunaan teknologi, tetapi menekankan aspek keselamatan makanan, penggunaan racun perosak minimum, amalan organik dan penggunaan mikrob baik (EM) bagi menjamin hasil tanaman selamat dan berkualiti.

“Lebih penting, kejayaan projek ini menunjukkan penyertaan aktif golongan muda dan wanita dalam pertanian moden. Ini selari dengan dasar negeri untuk menarik lebih ramai belia berkecimpung dalam sektor ini.

“Saya dah lihat beberapa anak muda di Selangor yang menjadi jutawan kerana fokus mereka kepada pertanian moden. Jadi ini kita boleh beri gambaran awal kepada mereka yang mungkin akan menceburi bidang pertanian masa akan datang,” katanya.