Taman Tun Teja bakal ada laluan alternatif, atasi kesesakan trafik

25 Jul 2026, 8:57 AM
Taman Tun Teja bakal ada laluan alternatif, atasi kesesakan trafik

SHAH ALAM, 25 JULAI: Penduduk Taman Tun Teja, Rawang dijangka menikmati penyelesaian jangka panjang terhadap masalah kesesakan lalu lintas menerusi cadangan pembukaan laluan alternatif yang menghubungkan kawasan itu ke Kampung Sungai Samak sebelum disambungkan ke jalan berhampiran Lotus Rawang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang Chua Wei Kiat berkata kawasan perumahan itu hanya mempunyai satu laluan masuk dan keluar sejak sekian lama, sekali gus menyebabkan kesesakan semakin ketara susulan pertambahan jumlah kenderaan terutama selepas pandemik Covid-19.

"Sudah berpuluh tahun penduduk Taman Tun Teja hanya mempunyai satu laluan masuk dan keluar. Laluan itu agak sempit dan keadaan menjadi semakin sesak selepas Covid-19 berikutan pertambahan jumlah kenderaan di kawasan ini," katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata setiap pembangunan baharu di sekitar Taman Tun Teja perlu menyediakan laluan tambahan supaya pertambahan penduduk serta pembangunan tidak terus memburukkan aliran trafik di kawasan berkenaan.

Menurut Wei Kiat, beberapa langkah penambahbaikan telah dilaksanakan termasuk melebarkan jalan berhampiran pembangunan baharu di kawasan tersebut bagi meningkatkan kelancaran aliran trafik.

"Dengan pembukaan Econsave, kami telah mengambil peluang meminta pihak pemaju melebarkan sebahagian jalan sedia ada daripada satu lorong kepada dua lorong bagi setiap hala, termasuk jalan berhampiran sekolah, bagi membantu melancarkan aliran trafik.

"Pada masa sama, kami turut meneliti cadangan mewujudkan laluan alternatif supaya penduduk tidak lagi bergantung kepada hanya satu akses masuk dan keluar," katanya.

Beliau berkata laluan alternatif yang dicadangkan akan menghubungkan Taman Tun Teja dengan Kampung Sungai Samak sebelum disambungkan ke jalan berhampiran Lotus Rawang, sekali gus menyediakan akses kedua kepada penduduk.

Menurutnya, usaha tersebut sebelum ini tidak dapat diteruskan kerana rizab jalan berakhir di atas tanah milik persendirian, namun pembangunan baharu di kawasan itu membuka ruang untuk merealisasikan sambungan berkenaan.

"Saya juga telah meminta Pejabat Tanah memulakan proses permohonan peruntukan bagi pembinaan jalan tersebut. Apabila sambungan terakhir ke arah Lotus Rawang siap pada masa hadapan, rangkaian jalan ini lengkap sepenuhnya.

"Inisiatif itu turut dijangka memberi manfaat kepada penduduk di kawasan sekitar termasuk Taman Kanching, Taman Tun Teja, Taman Mawar dan Taman Desa Sri Bayu yang menggunakan laluan sama untuk keluar masuk ke kawasan Rawang.

"Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Ahli Majlis Zon 14 Sulaiman Abu Samah, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Pejabat Tanah serta semua pihak yang terlibat atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan usaha ini demi manfaat penduduk Taman Tun Teja," katanya.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.