AMPANG, 25 Ogos: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyasarkan pelaksanaan 4,000 program Kempen Internet Selamat sepanjang tahun ini dengan penyertaan mencecah satu juta peserta.
Menurut SKMM, sejak dilancarkan pada awal 2025 hingga Jun lalu, kempen itu telah melibatkan 10,303 sekolah dan institusi pengajian tinggi selain dilaksanakan menerusi 2,142 program komuniti di seluruh negara.
Agensi itu berkata, pendekatan interaktif digunakan bagi menggalakkan penyertaan masyarakat melalui pelbagai aktiviti pendidikan, pameran, sesi libat urus dan kesedaran digital.
“Program menerusi pendekatan interaktif ini menggalakkan penyertaan masyarakat melalui pelbagai aktiviti pendidikan, pameran, sesi libat urus dan kesederan digital.
“Pendekatan ini bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai keselamatan dalam talian, perlindungan data peribadi, penggunaan media sosial bertanggungjawab serta langkah mengelak terlibat jenayah siber,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu SKMM menganjurkan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat 2026 peringkat Hulu Langat, dirasmikan Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad.
Ditemui selepas program, Syed Ahmad berkata inisiatif terbabit akan diadakan tujuh siri di Selangor dengan satu darinya dilaksanakan di kawasan Lembah Jaya.
Beliau berkata, kempen kesedaran siber itu perlu diperhebatkan dalam kalangan komuniti di situ, berikutan berlakunya peningkatan kes jenayah dalam talian berdasarkan data Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang.

“Sasaran mangsanya lebih kepada golongan warga emas dan ibu tunggal. Ada beberapa kes libatkan ibu tunggal yang dijanjikan pulangan lumayan.
“Mereka gunakan simpanan hari tua, kononnya dapat seminggu dua akan terima pulangan tinggi. Jadi percaya dan habiskan simpanan,” katanya.
Kempen Internet Selamat dijalankan secara berperingkat dari 2025 hingga 2027 menyasarkan pelbagai segmen masyarakat, termasuk kanak-kanak, remaja, pelajar institusi pengajian tinggi, guru, ibu bapa, komuniti Madani dan warga emas.
Kempen juga merupakan usaha strategik bagi membina ekosistem digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab selain diselaras untuk memperkukuh keselamatan siber negara serta melindungi pengguna dari risiko dan ancaman digital yang kian kompleks.







