SKMM siasat siaran langsung insiden pelajar serang guru

23 Okt 2026, 8:55 AM
SKMM siasat siaran langsung insiden pelajar serang guru

SHAH ALAM, 23 OKT: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menyiasat penstriman langsung kejadian seorang pelajar berusia 16 tahun menyerang guru di sebuah sekolah swasta di Kuching, Sarawak.

Jurucakap kerajaan Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata SKMM akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu pada masa sesuai selepas siasatan dijalankan.

“Buat masa ini, SKMM sedang menyiasat isu berkenaan. Jika kita ingat kembali, sebelum ini terdapat beberapa kejadian di negara lain apabila platform gagal menghalang tindakan keganasan daripada disiarkan secara langsung.

“Kita serahkan kepada SKMM untuk menjalankan siasatan dan mengeluarkan kenyataan pada masa sesuai,” katanya pada sidang media mingguan pasca-kabinet di sini, hari ini, lapor Berita Harian.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berucap di Majlis Pelancaran Lestari Sustainability Framework dan Roadmap 2030 di Hilton Kuala Lumpur pada 28 September 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan meminta Meta memberikan penjelasan berhubung kegagalan Facebook mengesan atau menghentikan siaran langsung kejadian terbabit sebaik ia bermula.

Fahmi turut diajukan soalan sama ada Malaysia akan mengambil tindakan lebih tegas, termasuk dari aspek keselamatan, bagi menghalang jenayah ganas disiarkan secara langsung.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.03 pagi kelmarin, seorang guru wanita di sekolah swasta berkenaan mengalami kecederaan pada tangan selepas dipercayai diserang pelajar terbabit.

Maklumat awal mendapati pelajar berusia 16 tahun itu membawa mercun ke sekolah sebelum dipercayai menggunakan kapak untuk menyerang guru berkenaan.

Pelajar terbabit masih menerima rawatan di hospital ketika siasatan terhadap kejadian berkenaan dijalankan.

Sementara itu, Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak Deputi Komisioner Saifullizan Ishak berkata polis sedang menjalankan siasatan terhadap suspek dengan mengambil kira keadaan kesihatannya serta nasihat pegawai perubatan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.