KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung tarif 10 peratus yang dikenakan ke atas eksport Malaysia susulan isu berkaitan buruh paksa, yang mula berkuat kuasa hari ini.
Menurut MITI dalam kenyataan hari ini, tarif 10 peratus itu mula berkuat kuasa pada 12.01 tengah malam waktu AS pada 24 Julai, selepas tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974.
Waktu di AS adalah 12 jam lewat berbanding Malaysia.
Menurut kementerian, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan tarif 10 peratus susulan siasatan AS di bawah Seksyen 301 berkaitan buruh paksa manakala ekonomi lain yang turut terlibat dalam siasatan itu dikenakan kadar tarif sebanyak 12.5 peratus.
MITI memaklumkan siasatan di bawah Seksyen 301 berkaitan isu lebihan kapasiti yang melibatkan 16 ekonomi termasuk Malaysia, masih dilaksanakan
"Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) telah mengambil kira komitmen Malaysia untuk melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan yang dihasilkan melalui buruh paksa sebagai asas dalam menetapkan kadar tarif yang dikenakan ke atas Malaysia," menurut MITI.
Menurutnya kementerian itu akan terus memaklumkan kepada pihak berkepentingan sebaik sahaja USTR menetapkan kadar tarif berkaitan siasatan Seksyen 301 berhubung isu lebihan kapasiti.
Terdahulu, Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer dalam kenyataan berkata Malaysia, Kemboja dan Indonesia adalah antara negara ASEAN yang dikenakan kadar duti terendah sebanyak 10 peratus di bawah tarif baharu Seksyen 301 AS susulan kegagalan melaksanakan dan menguatkuasakan secara berkesan larangan import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.
Menurut Moody's Analytics, struktur tarif baharu AS dibahagikan kepada tiga kategori berdasarkan hasil siasatan di bawah Seksyen 301 berkaitan buruh paksa.
Menurutnya tarif 10 peratus yang dikenakan ke atas ekonomi yang mempunyai larangan terhadap import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa tetapi tidak melaksanakan penguatkuasaan sepenuhnya, telah membuat komitmen menerusi perjanjian perdagangan timbal balik, atau melaksanakan penguatkuasaan secara sebahagian.
Antara ekonomi yang termasuk dalam kategori ini ialah Malaysia, Indonesia, India, Kanada, Mexico dan United Kingdom serta beberapa ekonomi lain.
Sementara itu, ekonomi yang mempunyai perjanjian perdagangan dengan AS dikenakan kadar tarif sama ada 10 peratus atau 12.5 peratus, termasuk Kesatuan Eropah (10 peratus), Taiwan (10 peratus), Korea Selatan (12.5 peratus) dan Jepun (12.5 peratus).
Ekonomi lain dalam kumpulan 60 ekonomi yang disiasat di bawah Seksyen 301 dikenakan tarif 12.5 peratus termasuk China, Singapura dan Australia.







