Mayat lelaki tanpa pakaian ditemukan di tebing Sungai Langat, tiada kesan kecederaan

11 Sep 2026, 3:00 PM
Mayat lelaki tanpa pakaian ditemukan di tebing Sungai Langat, tiada kesan kecederaan

SHAH ALAM ,11 SEPT: Mayat seorang lelaki yang belum dikenal pasti identitinya ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian di tebing Sungai Langat berhampiran Seksyen 5, Bandar Baru Bangi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat itu kira-kira jam enam petang.

Menurutnya, sepasukan anggota polis kemudian digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.

Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati mayat lelaki berkenaan berada di tebing sungai sebelum anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu mengangkatnya.

“Pemeriksaan awal Unit Forensik mendapati tiada kesan kecederaan jelas pada fizikal mangsa yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Naazron berkata mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.

“Punca kematian masih belum dikenal pasti sementara menunggu keputusan analisis makmal,” katanya.

Beliau berkata kes berkenaan setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Polis turut meminta individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau kehilangan ahli keluarga supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Sutri Patang di talian 018-942 7088.

Terdahulu, rakaman mengenai penemuan mayat lelaki berkenaan tular di media sosial.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.