SAR cari kanak-kanak perempuan hanyut diperluas hingga Sungai Langat

3 Mei 2026, 4:28 AM
SAR cari kanak-kanak perempuan hanyut diperluas hingga Sungai Langat

SHAH ALAM, 3 MEI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak perempuan yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Bandar Mahkota Cheras, Kuala Lumpur kini memasuki hari ketiga, dengan kawasan pencarian diperluas sehingga ke Sungai Langat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Izman Adnan berkata perluasan radius pencarian dilakukan bagi meningkatkan usaha mengesan mangsa, termasuk meliputi laluan sejauh kira-kira 24 kilometer dari perangkap sampah Sungai Long hingga ke Putrajaya.

“Kita sekarang fokus kepada perluasan ke arah Sungai Langat. Jarak radius Sungai Langat yang kita akan pergi mula daripada perangkap sampah Sungai Long hingga ke Putrajaya dalam jarak 24 kilometer (km).

“Untuk pertunjuk terbaru ini, kita ada fokus satu kawasan yang dikenalpasti melalui orang-orang awam, kita sudah hantar unit anjing pengesan ke situ bersama kumpulan ‘sweeper’. Jadi kita sedang mencari dekat kawasan itu.

“SAR diperluas ke Sungai Langat, tapi masih lagi tempat utama kita di Sungai Long untuk ‘sweep’ sepanjang Sungai Long sepanjang 5 kilometer,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika operasi SAR diteruskan dengan kekuatan kira-kira 60 anggota melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, Polis Diraja Malaysia serta badan bukan kerajaan.

Dalam pada itu, bantuan unit anjing pengesan turut digerakkan ke lokasi baharu yang dikenal pasti hasil maklumat orang awam berhampiran sebuah premis pameran, bersama pasukan ‘sweeper’ bagi memperluas pencarian di kawasan berkenaan.

Pada 1 Mei lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang ketika cuba mengambil bola yang terjatuh sebelum dihanyutkan arus deras. Bomba menerima panggilan kecemasan pada 7.08 malam.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.