Pendidikan TVET ubah kehidupan pemuda OKU

26 Jul 2026, 1:00 AM
Pendidikan TVET ubah kehidupan pemuda OKU
Pendidikan TVET ubah kehidupan pemuda OKU
Pendidikan TVET ubah kehidupan pemuda OKU

Kekurangan dari segi fizikal tubuh tidak pernah menjadi penghalang buat Moganaraj Jaganathan untuk membina masa depan lebih baik.

Sebaliknya, beliau menjadikan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) sebagai titik perubahan sehingga memiliki perniagaan sendiri.

Kisah Moganaraj, 28, antara contoh kejayaan belia kaum India yang memanfaatkan TVET sebagai laluan meningkatkan taraf hidup, sekali gus membuktikan bidang kemahiran bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya berupaya melahirkan usahawan dan tenaga kerja mahir.

Berkongsi pengalaman, Moganaraj yang cacat tangan kanan sejak lahir menyifatkan STDC bukan sahaja memberikannya kemahiran teknikal, malah keyakinan untuk berdikari.

"Keadaan fizikal bukan penghalang untuk berjaya. Kalau kita ada kemahiran dan berusaha bersungguh-sungguh, kita tetap boleh capai apa yang kita impikan. STDC banyak membantu saya daripada kosong sehingga saya mampu menggunakan kemahiran itu dalam pekerjaan dan perniagaan sendiri," katanya.

Beliau kini mengusahakan perniagaan hasil kemahiran yang dipelajari sepanjang mengikuti kursus komputer di STDC. Moganaraj turut memuji komitmen tenaga pengajar yang gigih membimbing pelajar hingga benar-benar menguasai kemahiran sebelum masuk ke alam pekerjaan.

Wawancara Alumni STDC kursus komputer, J Monaraj di pejabat MSSB, Shah Alam pada 12 Mei 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN

Persekitaran harmoni

Seorang lagi graduan STDC, Suthan Mahiraja, 28, pula menganggap pengalaman belajar bersama pelajar pelbagai kaum menjadi antara kelebihan institusi itu selain latihan yang menekankan pembelajaran secara praktikal.

Menurut bekas pelajar kursus elektrik itu, suasana pembelajaran berbilang kaum membentuk sikap saling menghormati, memudahkan komunikasi dan mengukuhkan semangat kerja berpasukan yang penting dalam dunia pekerjaan.

"Di STDC, kami belajar bersama-sama tanpa mengira kaum dan agama. Pengalaman itu mengajar kami bekerjasama, saling menghormati dan berkomunikasi dengan lebih baik," katanya.

Pendekatan latihan secara amali banyak membantu mereka menguasai kemahiran dengan lebih cepat sebelum memasuki alam pekerjaan.

Kemahiran itu akhirnya menjadi asas kejayaannya membuka syarikat sendiri selepas beberapa tahun mengumpul pengalaman bekerja.

Suthan juga berharap lebih ramai belia, khususnya masyarakat India, berani memilih laluan TVET kerana bidang itu menawarkan masa depan stabil jika dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Namun, sokongan ibu bapa juga penting bagi menghakis tanggapan kononnya TVET cuma pilihan kedua sedangkan laluan itu terbukti melahirkan tenaga kerja profesional dan usahawan berjaya.

TVET antara agenda penting Kerajaan Negeri yang menyalur peruntukan RM20.48 juta dalam Belanjawan 2026 untuk menjayakan Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) bagi memperkukuh bidang itu.

Wawancara Alumni STDC kursus elektrik, M Suthan di pejabat MSSB, Shah Alam pada 12 Mei 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.