UNICEF: Malaysia di landasan tepat lindungi kanak-kanak dalam talian

29 Jul 2026, 3:00 AM
UNICEF: Malaysia di landasan tepat lindungi kanak-kanak dalam talian
UNICEF: Malaysia di landasan tepat lindungi kanak-kanak dalam talian

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Malaysia berada pada landasan tepat dalam memperkukuh perlindungan digital kanak-kanak, menerusi aspek penguatkuasaan undang-undang serta kesedaran sosial.

Ketua Perlindungan Kanak-Kanak di Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia berkata tindakan itu seiring negara maju, yang mengehadkan umur 16 tahun bagi pemilikan media sosial.

Menurut Saskia Blume, Malaysia ketika ini melihat keselamatan teknologi digital secara menyeluruh, berbanding hanya sekadar menyekat penggunaan media sosial serta aplikasi lain kepada kanak-kanak.

“Sebenarnya tanggungjawab di platform teknologi digital adalah jauh lebih besar daripada semata-mata menghalang ia daripada digunakan. Saya lihat Malaysia juga ke arah ini, sama seperti Australia di mana mereka bukan hanya sekadar menyekat media sosial.

Ketua Perlindungan Kanak-Kanak di Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia Saskia Blume bercakap kepada media selepas menyertai sesi dialog Keselamatan Dalam Talian Melalui Reka Bentuk - Akauntabiliti Platform dan Perlindungan Kanak-Kanak Pada Era Daya Tahan Pengguna di Hotel Shangri-La Kuala Lunpur pada 21 Julai 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Malaysia mengambil perkara ini dengan serius. Sebagai contoh, ketika ini terdapat cadangan untuk melaksanakan rancangan keselamatan dalam talian yang memberi penilaian adakah sesebuah platform itu selamat kepada anak-anak kita,” katanya.

Beliau ditemui Media Selangor selepas menjadi panelis pada Sesi Dialog: Keselamatan Dalam Talian Melalui Reka Bentuk - Akauntabiliti Platform dan Perlindungan Kanak-Kanak Pada Era Daya Tahan Pengguna.

Sesi dialog itu dianjurkan sempena Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 di sini, yang dirasmikan oleh Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, pada 21 Julai.

Dalam pada itu, Saskia menjelaskan sesi dialog tersebut bersetuju supaya semua aplikasi dalam talian menetapkan had privasi kepada pengguna bagi menjamin keselamatan pengguna bawah umur.

Beliau yang sudah empat tahun tinggal di Malaysia berkata tiada had umur tertentu sebenarnya yang mampu mengawal kanak-kanak daripada ancaman media sosial yang semakin membimbangkan.

Media sosial. Foto AI (gambar hiasan)

“Ia bukan hanya mengenai menjaga anak-anak dalam media sosial tetapi tentang pengalaman kanak-kanak apabila mereka mengakses media sosial atau permainan dalam talian atau pun teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Ini adalah mengenai pilihan rekaan aplikasi itu. Adakah media sosial membolehkan orang dewasa berhubung dengan anak-anak, adakah media sosial menetapkan privasi supaya pengguna tidak dapat melihat gambar kanak-kanak?

“Jadi semua pilihan rekaan itu sangat penting. Bukannya mengenai had umur 14, 16 atau 18 tahun. Jika kita membuatnya lebih selamat kepada anak-anak, ia akan lebih selamat kepada semua orang,” katanya.

Bermula 1 Jun lalu, kerajaan menetapkan had umur minimum 16 tahun untuk membuka dan memiliki akaun media sosial bagi mengekang pengaruh negatif, buli siber, serta melindungi kanak-kanak daripada ancaman dalam talian.

Langkah itu menyusul selepas Australia menjadi negara pertama dunia yang menguatkuasakan undang-undang larangan penggunaan media sosial untuk individu bawah 16 tahun, bermula 10 Disember 2025.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.