PETALING JAYA, 13 APRIL: Sebuah kopitiam di Petaling Jaya mencipta sejarah apabila menjadi restoran pertama di Malaysia yang diiktiraf Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sebagai premis mesra kanak-kanak.
Pengiktirafan itu sekali gus mengangkat konsep ruang komuniti inklusif untuk keluarga, selaras dengan inisiatif Petaling Jaya sebagai bandar mesra kanak-kanak.
Pemilik Meng Yang Restaurant Two, Gan Kar Yan, 39, berkata restoran berkenaan dirasmikan pada November 2024 dengan menekankan persekitaran selamat dan selesa untuk ibu bapa serta anak-anak.

Menurutnya, konsep utama restoran adalah menyediakan suasana makan yang tenang untuk ibu bapa, sementara kanak-kanak boleh bermain di ruang khas yang disediakan dalam premis.
“Matlamat kami adalah supaya ibu bapa boleh makan dengan selesa, sementara anak-anak dapat bermain dalam ruang yang selamat.
"Aspek keselamatan menjadi keutamaan kami dalam reka bentuk restoran termasuk pemasangan beberapa kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan permainan bagi membolehkan ibu bapa memantau anak-anak,” katanya kepada Media Selangor.

Selain itu, beliau berkata restoran berkenaan turut menyediakan bilik tenang khusus untuk kanak-kanak neurodivergen bagi mengurangkan risiko overstimulasi.
Katanya, kemudahan lain termasuk bilik penyusuan bagi memberi keselesaan kepada ibu.
Dalam pada itu, elemen dekorasi seperti lukisan dinding dihasilkan hasil kolaborasi dengan Ahli Majlis Kanak-Kanak.
"Penglibatan mereka memberi nilai tambah kerana mampu membawa perspektif serta idea daripada sudut pandang kanak-kanak," katanya.











