Selangor–UNICEF perkukuh kerjasama, fokus sistem perlindungan sosial inklusif

6 Mei 2026, 10:13 AM
Selangor–UNICEF perkukuh kerjasama, fokus sistem perlindungan sosial inklusif
Selangor–UNICEF perkukuh kerjasama, fokus sistem perlindungan sosial inklusif
Selangor–UNICEF perkukuh kerjasama, fokus sistem perlindungan sosial inklusif
Selangor–UNICEF perkukuh kerjasama, fokus sistem perlindungan sosial inklusif

SHAH ALAM, 6 MEI: Kerajaan Negeri terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bagi meningkatkan sokongan kepada keluarga berpendapatan rendah dan pembangunan awal kanak-kanak.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerjasama itu turut memberi tumpuan kepada penambahbaikan sistem perlindungan sosial yang lebih inklusif.

Menurutnya, perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat delegasi UNICEF diketuai Robert Gass bersama EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari, semalam.

“Perbincangan turut memberi penekanan kepada pengukuhan pendekatan berasaskan data termasuk pemetaan kanak-kanak di pusat jagaan bagi memastikan setiap dasar yang dilaksanakan lebih tepat sasaran dan memberi impak berkesan.

“Namun, usaha memperkukuh kebajikan kanak-kanak perlu terus dipertingkat secara menyeluruh selaras komitmen Kerajaan Negeri dalam mewujudkan persekitaran selamat, inklusif dan mesra kanak-kanak,” katanya menerusi Facebook.

Menurut Amirudin, Kerajaan Negeri juga melihat potensi besar kerjasama dengan UNICEF yang telah bertapak di Malaysia lebih 70 tahun melalui pelbagai inisiatif termasuk MamaKerja, Asuh Pintar serta pembangunan ekosistem ekonomi penjagaan.

Dalam masa sama, beliau menegaskan keperluan untuk beralih daripada pendekatan tradisional berpusat kepada pendekatan lebih menyeluruh, inklusif serta berasaskan realiti dan keperluan semasa di lapangan.

Amirudin menambah, penglibatan pihak berkuasa tempatan juga wajar diperkukuh memandangkan mereka lebih memahami keadaan sebenar di kawasan masing-masing termasuk keluarga yang memerlukan bantuan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan Selangor berbangga apabila Petaling Jaya diiktiraf sebagai bandar pertama di Malaysia menerima pengiktirafan Bandar Mesra Kanak-Kanak oleh UNICEF lebih dua tahun lalu.

Beliau menegaskan Kerajaan Negeri kekal komited memperkukuh kerjasama strategik bersama UNICEF bagi memastikan kebajikan kanak-kanak dan keluarga terus menjadi keutamaan selaras aspirasi membina masa depan Selangor yang lebih adil dan inklusif.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.