SHAH ALAM, 23 JULAI: Seorang pembantu warung didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas 10 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap tujuh kanak-kanak lelaki berusia sembilan hingga 13 tahun sejak Mac lalu hingga bulan ini.
Tertuduh, Mohamad Saiful Nizam Abd Rahman, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan memohon dibicarakan dalam dua prosiding berasingan di hadapan Mahkamah Sesyen 2 dan Mahkamah Sesyen 3, lapor Berita Harian.
Pada prosiding di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin, tertuduh berdepan lima pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 membabitkan empat mangsa.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun di sebuah rumah di Jalan Seri Emas 21, Taman Seri Telok Emas dan kaki lima sebuah kedai serbaneka di taman sama pada Mac lalu serta 12 Julai lalu, kira-kira jam 5 petang.
Tiga lagi pertuduhan membabitkan dua mangsa berusia 10 tahun dan seorang berusia 11 tahun yang didakwa berlaku di Taman Permainan, Taman Desa Duyong, pada Mei lalu kira-kira jam 9 malam serta 4 Julai lalu masing-masing pada jam 8.30 malam dan 7 malam.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan mencadangkan jumlah jaminan RM16,000 bagi dua pertuduhan pertama dan RM13,000 bagi setiap tiga pertuduhan lain, selain syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan dan melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.
Peguam tertuduh, Razif Toha memohon jumlah jaminan minimum dengan alasan anak guamnya yang masih bujang hanya membantu ibunya menguruskan warung dengan pendapatan harian sekitar RM30 hingga RM40.
Katanya, tertuduh turut mengalami keretakan tulang rahang dan perlu menjalani rawatan serta dua pembedahan di Hospital Melaka yang dijadualkan esok.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 bagi lima pertuduhan berkenaan berserta syarat tambahan yang ditetapkan pendakwaan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 Ogos depan.
Dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah, tertuduh menghadapi lima lagi pertuduhan mengikut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di tiga lokasi iaitu Taman Permainan, Taman Desa Duyong, kawasan parkir Taman Duyong Bestari dan kedai makan Medan Selera Taman Seri Telok Mas pada 8 dan 9 Julai lalu.
Tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan sama terhadap dua lagi mangsa berusia 11 dan sembilan tahun di Taman Permainan, Taman Desa Duyong pada 6 dan 4 Julai lalu.
Pendakwaan mencadangkan jaminan RM18,000 bagi lima pertuduhan itu dan mahkamah membenarkannya bersama syarat tambahan yang ditetapkan.
Kes berkenaan ditetapkan untuk sebutan pada 29 September depan. Secara keseluruhan, tertuduh dikenakan jaminan RM43,000 bagi 10 pertuduhan tersebut.






