KPM integrasi 16 aplikasi AI dalam DELIMa 3.0

23 Jul 2026, 9:39 AM
KPM integrasi 16 aplikasi AI dalam DELIMa 3.0

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Sebanyak 16 aplikasi khusus berasaskan kecerdasan buatan (AI) disepadukan ke dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) 3.0 bagi mengautomasikan penyemakan tugasan, analisis prestasi dan pengecaman jurang pembelajaran murid.

Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan integrasi teknologi itu turut memfokuskan automasi tugasan rutin pengkeranian dan pentadbiran bagi meringankan beban pendidik serta memberi lebih masa kepada guru untuk membimbing murid.

"Setakat 30 Jun 2026, aplikasi AI yang mencatatkan penggunaan tertinggi dalam kalangan guru ialah ChatGPT dengan 208,836 penggunaan, diikuti Gemini AI sebanyak 175,765 penggunaan, dan NotebookLM sebanyak 130,099 penggunaan," menurut KPM dalam jawapan bertulis di Dewan Negara yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Jawapan itu bagi menjawab soalan Senator Sheikh Umar Bagharib Ali yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan langkah-langkah kementerian untuk memperluas penggunaan AI dalam sistem pendidikan secara beretika di samping meningkatkan kemahiran digital guru dan murid.

Menurut KPM, pelancaran DELIMa 3.0 pada 20 Julai lepas bukan sekadar menaik taraf platform sedia ada, tetapi mentransformasikan pelantar berkenaan kepada sebuah ekosistem pendidikan digital yang lebih pintar, bersepadu dan berfokuskan pengguna.

KPM menjelaskan pelantar berkenaan kini turut diperkasakan dengan DETa (Digital Educational Teaching & Learning Assistant) iaitu satu chatbot pintar berasaskan AI bagi membantu guru dan murid memanfaatkan sumber rasmi KPM.

"Guru boleh mengaplikasikan DETa bagi cadangan kandungan pengajaran mengikut kesesuaian, manakala murid boleh mendapat jawapan dan bahan cadangan pembelajaran yang spesifik mengikut subjek masing-masing berdasarkan sumber rasmi KPM," menurut kenyataan itu.

Selain itu, DELIMa 3.0 turut memperkenalkan Digital Learning Pathway dikuasakan AI bagi mencadangkan laluan pembelajaran diperibadikan mengikut prestasi, minat dan keperluan akademik individu murid.

Keberkesanan pelantar berkenaan terbukti apabila merekodkan kadar guru aktif sebanyak 97.73 peratus dan murid aktif sebanyak 37.32 peratus bagi tempoh 1 Januari hingga 21 Julai lepas.

KPM memaklumkan usaha memperluas penggunaan AI dalam sistem pendidikan negara dilaksanakan berteraskan Pelan Tindakan AI Kebangsaan, Dasar Pendidikan Digital serta Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 bagi memastikan ia berkesan, selamat, bertanggungjawab dan beretika.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.