Selangor, PETRA peruntuk hingga RM500 juta naik taraf ban

23 Jul 2026, 7:46 AM
Selangor, PETRA peruntuk hingga RM500 juta naik taraf ban
Selangor, PETRA peruntuk hingga RM500 juta naik taraf ban

SHAH ALAM, 23 JULAI: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bersama Kerajaan Negeri memperuntukkan antara RM400 juta hingga RM500 juta bagi menaik taraf ban sedia ada di Selangor.

EXCO Infrastruktur, Dato' Ir Izham Hashim berkata, setakat ini lima projek menaik taraf ban telah disiapkan dan diserahkan PETRA kepada Kerajaan Negeri, melibatkan kawasan Morib, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Menurut beliau, peruntukan itu disalurkan secara sekali bayar (one-off) menerusi PETRA selain bajet tahunan Kerajaan Negeri di bawah Caruman Parit bagi memperkukuh sistem tebatan banjir di negeri ini.

"Selain itu, kerja menaik taraf ban di Kelanang, Banting sedang dilaksanakan menggunakan teknologi baharu mesin stone fiber dari Korea yang terbukti lebih berkesan serta menjimatkan kos.

"Kita juga menggunakan teknologi Sistem Schematic Prefabricated bagi projek menaik taraf ban di Sungai Bukit Changgang. Ia telah digunakan di Tanjung Karang, membuktikan keberkesanannya apabila struktur ban kekal kukuh walaupun beberapa kali berdepan kejadian ombak melepasi ban (overtopping)," katanya.

EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim berucap sempena Bengkel Semakan Semula Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (ICM) Negeri Selangor di Hotel De Palma, Shah Alam pada 23 April 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Semakan Semula Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu Negeri Selangor 2022-2030 di Hotel De Palma di sini, hari ini.

Izham memaklumkan Selangor mempunyai rangkaian ban sepanjang kira-kira 750 kilometer di kawasan sungai dan 200 kilometer di pesisir pantai, menjadikan keseluruhan sistem ban di negeri ini hampir 1,000 kilometer yang memerlukan penyelenggaraan serta penaiktarafan secara berterusan.

Sebelum ini, PETRA memaklumkan kerajaan Persekutuan meluluskan 25 projek di bawah Rolling Plan Pertama Tahun 2026, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan kos keseluruhan RM3.63 bilion.

Menurut kementerian itu, projek melibatkan 16 projek sambungan dan sembilan projek baharu merangkumi kerja tebatan banjir, menaik taraf sistem saliran, pemulihan koridor sungai, kawalan hakisan pantai serta pembinaan infrastruktur mekanikal di Selangor.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.