SHAH ALAM, 26 NOV: Pelarasan tarif air dilaksanakan secara berperingkat menerusi Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi memastikan keperluan kewangan operator dapat diseimbangkan dengan kemampuan pengguna.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata pendekatan itu sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan bekalan air negara kekal mencukupi, berkualiti dan terjamin.
Menurutnya, kemampanan sektor air memerlukan penambahbaikan menyeluruh dalam pengurusan operasi, selain mengambil kira kesan pelarasan tarif terhadap pengguna.
“Kemampuan sektor air tidak boleh bergantung kepada pelarasan tarif semata-mata.
“Kerajaan juga memberi penekanan kepada peningkatan kecekapan operator termasuk mengoptimum penggunaan tenaga, penggunaan teknologi pam yang lebih cekap, pengurangan penggunaan bahan kimia dan pengurusan kos penyelenggaraan secara lebih berkesan.
“Pada masa yang sama, kerajaan terus mengambil kira kemampuan rakyat khususnya golongan pendapatan rendah dan miskin tegar melalui mekanisme bantuan bersasar dengan kerjasama kerajaan negeri dan operator air,” katanya di Dewan Rakyat hari ini, lapor Berita RTM.
TSM bagi Tempoh Pelaksanaan Kedua (TP2) mula berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.
Sekiranya mekanisme itu dilaksanakan sepenuhnya, purata tarif air nasional diunjurkan mencapai RM2.79 bagi setiap meter padu berbanding RM2.21 bagi setiap meter padu di bawah pelaksanaan TSM secara separa.
Abdul Rahman berkata, matlamat kerajaan adalah membangunkan industri air yang mampan dan bukan sekadar menaikkan tarif.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen mengenai langkah kerajaan menangani isu tarif air yang masih berada di bawah paras pemulihan kos di kebanyakan negeri.







