SHAH ALAM, 28 OCT: Tenaga nuklear antara sumber bekalan elektrik yang sedang dipertimbangkan kerajaan bagi menampung keperluan operasi pusat data yang semakin berkembang di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah itu bagaimanapun memerlukan penelitian menyeluruh dan kerjasama antarabangsa bagi memastikan penggunaannya memenuhi piawaian keselamatan serta keperluan teknologi negara.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, sebarang pelaksanaan perlu mematuhi standard ditetapkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), termasuk aspek kawal selia, keselamatan dan kepakaran tenaga kerja.
“Kita perlu teliti dahulu dengan pihak antarabangsa (yang mahir). Baru kita boleh meletakkan nuklear sebagai salah satu sumber tenaga kita.
“Dengan syarat, kita perlu mematuhi standard ditetapkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa dari segi peraturan, keselamatan, keupayaan manusia dan teknologi sesuai dengan negara kita,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai pelan kontingensi kerajaan bagi memastikan operasi pusat data tidak menjejaskan keperluan elektrik dan air rakyat ketika kemarau atau gangguan bekalan, termasuk mekanisme keutamaan serta penggunaan air terawat semula.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata kerajaan turut menggalakkan kerjasama secara perniagaan dengan perniagaan (B2B) antara pembekal tenaga dengan pengendali pusat data yang berminat meneroka penggunaan tenaga nuklear.
“Sama ada akan kita beralih kepada penggunaan nuklear, itu memang dalam pertimbangan kerajaan. Kita menggalakkan kalau ada pembekal tenaga kepada pusat data yang hendak mempertimbangkan B2B, kerajaan akan membantu,” katanya.
Mengambil contoh Indonesia, beliau menjelaskan kerjasama antara syarikat perlombongan negara itu dengan syarikat tenaga nuklear Rusia, Rosatom State Corporation dilaksanakan secara B2B dan bukannya menerusi kontrak kerajaan.
“Apa yang berlaku di Indonesia sebenarnya bukan membabitkan kontrak kerajaan, tetapi hanya membabitkan operasi perlombongan yang menggunakan tenaga besar.
“Mereka buat kerjasama B2B antara syarikat perlombongan di Indonesia dengan syarikat tenaga nuklear Rusia, Rosatom State Corporation,” katanya.
Mengulas kesan operasi pusat data terhadap alam sekitar, Fadillah berkata perkara itu berada di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) yang turut menjalankan penilaian berkaitan sebelum sesuatu pusat data dibangunkan.
“Saya kira perkara ini sudah dilaksanakan, baru dapat dibina sesuatu pusat data,” katanya.








