SHAH ALAM, 23 JULAI: Seorang pemuda yang baru sahaja lulus sijil kejuruteraan untuk menaik taraf lesen kerjanya maut dalam kemalangan jalan raya sebelum sempat berkongsi khabar gembira itu dengan keluarganya.
Mangsa, Muhamad Jafni, meninggal dunia selepas motosikal Yamaha Y15ZR yang ditungganginya dirempuh dari belakang sebuah Nissan Almera di persimpangan lampu isyarat Jalan Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam, Sungai Buloh, malam kelmarin.
Bapanya, Baharudin Othman, 64, berkata anak ketiga daripada empat beradik itu sedang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ketika kejadian berlaku.
"Anak saya lulus sijil kejuruteraan semalam (kelmarin) untuk menaik taraf lesen kerjanya, tetapi tidak sempat mengambil sijil itu.
"Anak saya juga tidak sempat berkongsi kejayaan itu dengan kami. Sebaliknya, kami menerima berita pemergiannya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Darah, Bestari Jaya, semalam seperti dilapor NST.
Menurut Baharudin, ketika kejadian beliau sedang menunaikan solat Maghrib di masjid sebelum pulang ke rumah untuk menghantar cucunya ke kelas al-Quran.
Katanya, sebaik tiba di rumah, isterinya memaklumkan bahawa mereka menerima berita Muhamad Jafni terbabit dalam kemalangan.
"Pada masa sama, anak kedua saya meminta saya dan isteri segera ke lokasi kejadian. Kebetulan dia berada di sana dan sedang mengajar adiknya mengucap dua kalimah syahadah.
"Apabila saya sampai, saya terus melihat keadaan anak saya. Dalam masa sama saya mencari pemandu kereta yang terbabit. Nasib baik ahli keluarga dan orang ramai menenangkan saya kerana ketika itu saya sudah tidak dapat mengawal emosi," katanya.

Baharudin berkata kira-kira dua bulan sebelum meninggal dunia, Muhamad Jafni pernah menyatakan hasrat untuk membawa beliau dan isterinya menunaikan ibadah haji.
Katanya, anaknya juga pernah menerima beberapa tawaran pekerjaan di luar negara, namun memilih untuk menolaknya kerana mahu menjaga kedua-dua ibu bapanya.
"Tahun lepas pun dia belikan saya sebuah Proton Saga baharu supaya lebih mudah saya bergerak," katanya.
Beliau menyifatkan Muhamad Jafni sebagai seorang yang pendiam, bertanggungjawab dan sentiasa mengutamakan keluarga.
"Keluarga saya hanya mahukan keadilan untuk anak saya dan akan mengambil tindakan mengikut saluran undang-undang terhadap pemandu terbabit.
"Pemergian anak saya meninggalkan trauma yang akan kami tanggung seumur hidup. Disebabkan kesilapan orang lain, anak saya menjadi mangsa," katanya.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa Muhamad Jafni berlumba ketika kejadian, sebaliknya menegaskan anaknya hanya dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
Jenazah Muhamad Jafni dikebumikan pada jam 2.30 petang semalam di Tanah Perkuburan Islam Bestari Jaya selepas selesai dimandi dan dikafankan di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata mangsa maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh dari belakang oleh sebuah Nissan Almera.
Beliau berkata impak pelanggaran menyebabkan mangsa tercampak dari motosikal dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.





