Polis sahkan 'rider' Lalamove maut dirempuh kereta di Puncak Alam

22 Jul 2026, 6:23 AM
Polis sahkan 'rider' Lalamove maut dirempuh kereta di Puncak Alam

SHAH ALAM, 22 JULAI: Polis mengesahkan seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan sebuah motosikal Yamaha Y15ZR dan sebuah kereta Nissan Almera pada jam 8.23 malam.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal itu dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumah sebelum berhenti di lampu isyarat merah di persimpangan berkenaan.

"Kemalangan dipercayai berlaku semasa penunggang motosikal dalam perjalanan pulang dari tempat kerja hendak menghala ke rumahnya.

"Sampai di simpang empat lampu isyarat merah, datang sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki warga asing dari arah belakang melanggar bahagian belakang motosikal yang sedang berhenti di lampu isyarat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hafiz berkata akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam bagi tujuan bedah siasat," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Azie Azyanti Mohd Rafae di talian 013-6756317 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Terdahulu, tular rakaman kamera papan pemuka sebuah kenderaan menunjukkan penunggang motosikal terbabit yang sedang menunggu lampu isyarat merah dirempuh dari arah belakang.

Video berdurasi beberapa saat itu memaparkan impak pelanggaran menyebabkan mangsa yang juga penghantar barangan Lalamove tercampak dari motosikalnya.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.