Ujian doping atlet SUKMA secara rawak, acara berbasikal antara tumpuan

23 Jul 2026, 4:17 AM
Ujian doping atlet SUKMA secara rawak, acara berbasikal antara tumpuan
Ujian doping atlet SUKMA secara rawak, acara berbasikal antara tumpuan

SHAH ALAM, 23 JULAI: Ujian doping akan dijalankan terhadap atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 secara rawak sepanjang temasya dwitahunan itu berlangsung.

Menurut pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) yang mengendalikan proses itu akan mengadakan ujian tersebut secara individu atau pasukan.

Mohamad Nizam Marjugi juga memberitahu tumpuan ujian berkenaan yang lazimnya menggunakan sampel air kencing terarah kepada atlet dalam acara berbasikal, menembak dan memanah.

“Kalau ADAMAS kata dia nak cari individu, dia pergi cari individu. Kalau dia hendak cari pasukan, dia akan cari pasukan tetapi kebiasaannya mereka akan ambil banyak individu,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau menjelaskan hanya atlet acara angkat berat perlu menjalani ujian berkenaan menjelang temasya berkenaan berikutan ada banyak kes penyalahgunaan bahan terlarang sebelum ini.

“Jadi dia (ADAMAS) bagi angkat berat untuk buat doping dulu. Tapi untuk yang lain itu semasa kejohanan nanti akan diambil secara rawak,” katanya lagi.

Dalam SUKMA 2024 di Sarawak, lebih 300 sampel diambil dan tiada pengambilan bahan terlarang dikesan sekali gus menyaksikan temasya berkenaan bebas doping.

Doping adalah penggunaan bahan atau kaedah yang dilarang bagi meningkatkan prestasi atlet. Ia merujuk penggunaan dadah atau ubat yang dilarang Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Dalam sesetengah keadaan, bahan atau kaedah yang dilarang itu boleh meningkatkan tahap keupayaan atlet melangkaui kebiasaan yang boleh menyebabkan kesan buruk termasuk maut.

SUKMA 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos manakala PARA SUKMA 2026 diadakan pada 5 hingga 14 September.

Temasya tersebut mempertanding sebanyak 469 acara daripada 37 jenis sukan manakala Para SUKMA melibatkan 316 acara merangkumi 10 jenis sukan.

Dataran Kemerdekaan Shah Alam dipilih sebagai lokasi majlis pembukaan SUKMA 2026 yang dijangka berlangsung secara sederhana tetapi meriah.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.