SHAH ALAM, 28 JUL: Institusi pendidikan perlu menyesuaikan silibus dengan perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi tinggi bagi memastikan graduan memiliki kemahiran yang memenuhi keperluan industri masa depan.
EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata perubahan landskap pekerjaan ketika ini menuntut sistem pendidikan bergerak seiring dengan kemajuan teknologi bagi melahirkan tenaga kerja yang lebih berdaya saing.
Beliau juga yakin dalam tempoh lima tahun akan datang, silibus di institusi pengajian tinggi akan mengalami perubahan ketara sejajar dengan keperluan pasaran kerja yang semakin dipacu teknologi.
“Setiap subjek dan silibus di institusi pendidikan akan lebih tertumpu kepada AI serta teknologi tinggi selaras dengan keperluan industri semasa termasuk penerapan kemahiran digital bagi melahirkan graduan yang lebih bersedia memenuhi tuntutan pasaran kerja masa depan.
“Pada masa sama, institusi pendidikan perlu memastikan pelajar bukan sahaja mempunyai pengetahuan akademik malah menguasai kemahiran yang diperlukan oleh majikan,” katanya kepada Media Selangor.

Dalam pada itu, Papparaidu berkata penduduk Selangor bertuah kerana Kerajaan Negeri menyediakan platform seperti Karnival Kerjaya JobCare Selangor yang memberi pendedahan kepada peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
Katanya, program berkenaan bukan sahaja membuka peluang kepada pencari kerja mendapatkan pekerjaan malah membantu mereka memahami kemahiran yang diperlukan dalam sektor berpotensi tinggi.
Menerusi Belanjawan Selangor 2026, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM1 juta bagi menjayakan inisiatif berkenaan sebagai usaha menangani pengangguran selain memperkukuh program melalui pensijilan dan pembangunan kemahiran.
“Pendedahan seperti ini penting supaya anak muda dapat membuat pilihan kerjaya yang lebih tepat mengikut keperluan pasaran selain memahami bidang pekerjaan yang mempunyai potensi pertumbuhan serta menawarkan peluang pendapatan lebih baik.
“Sokongan keluarga juga diperlukan bagi memastikan generasi muda bersedia menghadapi perubahan dunia pekerjaan yang semakin dipengaruhi AI, automasi dan teknologi digital,” tambahnya.

Sementara itu, Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) kini giat membangunkan Teraju AI 2.0 yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini bagi memperkukuh penerapan AI dalam pendidikan serta pembangunan tenaga mahir.
Ketua Pegawai Eksekutif STDC, Dr Harizal Hamid berkata aplikasi berkenaan yang memberi tumpuan kepada sektor pendidikan merupakan kesinambungan kepada inisiatif Teraju AI yang diperkenalkan tahun lalu.
Menurutnya, STDC turut melaksanakan transformasi sistem pentadbiran bagi meningkatkan produktiviti pengurusan serta memperkasa pembangunan tenaga mahir berasaskan AI menerusi versi terbaharu itu.






