Landskap pendidikan Selangor: Antara sasar, transformasi dan aspirasi

19 Jul 2026, 8:00 AM
Landskap pendidikan Selangor: Antara sasar, transformasi dan aspirasi
Landskap pendidikan Selangor: Antara sasar, transformasi dan aspirasi
Landskap pendidikan Selangor: Antara sasar, transformasi dan aspirasi

Pendidikan sentiasa menjadi asas kepada pembangunan sesebuah negeri.

Dalam era ekonomi digital dan persaingan global, kekuatan sesebuah negeri tidak lagi hanya diukur melalui saiz pelaburan, pertumbuhan ekonomi atau pembangunan fizikal, tetapi turut bergantung kepada keupayaannya membangunkan modal insan yang berilmu, berkemahiran dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.

Justeru, pendidikan perlu dilihat sebagai pelaburan strategik yang menentukan daya saing negeri untuk jangka panjang.

Walaupun pendidikan sekolah merupakan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri masih mempunyai ruang yang signifikan untuk melengkapkan agenda tersebut melalui pelbagai dasar sokongan, insentif dan kerjasama strategik.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke program Gagasan Rumpun Selangor Daerah Hulu Langat Tahun 2026 di Sekolah Kebangsaan Dusun Tua, Hulu Langat pada 13 Mei 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Pendekatan ini memperlihatkan bahawa kejayaan pendidikan tidak bergantung kepada satu institusi semata-mata, sebaliknya lahir daripada ekosistem yang menghubungkan kerajaan, sekolah, institusi pengajian tinggi, industri dan masyarakat.

Dalam konteks ini, Selangor menawarkan satu landskap pendidikan yang wajar diperhatikan. Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan memperlihatkan usaha memperkukuh pembangunan pendidikan merentas pelbagai peringkat, daripada memperluas akses pendidikan di sekolah sehinggalah pembangunan bakat dan modal insan bagi memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan.

Pengalaman ini wajar dianalisis bukan sebagai ukuran kejayaan sesebuah negeri, tetapi sebagai contoh bagaimana kerajaan negeri boleh melengkapkan agenda pendidikan negara melalui pendekatan yang bersifat kolaboratif dan berpandangan jauh.

Membina asas pendidikan yang inklusif

Asas kepada sistem pendidikan yang mampan ialah memastikan setiap anak mempunyai peluang yang saksama untuk memperoleh pendidikan berkualiti.

Akses kepada pendidikan tidak boleh ditafsirkan sekadar penyediaan sekolah atau bilik darjah, sebaliknya merangkumi sokongan kewangan, intervensi akademik dan peluang pembelajaran yang mampu mengurangkan jurang pendidikan serta meningkatkan potensi setiap murid.

Di Selangor, usaha tersebut diperkukuh melalui peranan Yayasan Selangor sebagai agensi pembangunan pendidikan negeri.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor(tengah) bersama pengetua dan guru dalam daerah Petaling dalam Majlis Penyerahan Modul Porgram Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan Program Didik Kasih di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sunway, Petaling Jaya pada 23 April 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Selain menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan pinjaman pendidikan, agensi ini menguruskan Rancangan Khas Pendidikan Yayasan Selangor (RKPYS) yang memberi peluang kepada murid Tingkatan 1 yang berpotensi, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah, untuk mengikuti pendidikan di sekolah-sekolah terpilih.

Pendekatan ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperluas akses kepada pendidikan berkualiti sejak di bangku sekolah lagi.

Usaha tersebut diperkukuh melalui Program High Potential Students (HIPERS) yang menyasarkan murid Tahun 4 hingga Tahun 6 serta pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

Program ini menyediakan pelbagai intervensi akademik, motivasi dan pembangunan kendiri bagi membantu murid meningkatkan prestasi pembelajaran serta memperluas peluang pendidikan pada peringkat seterusnya.

Pendekatan ini menunjukkan bahawa kecemerlangan akademik bukan sahaja bergantung kepada kebolehan individu, malah memerlukan sokongan yang tersusun dan bersasar.

雪兰莪大臣机构基金会于2026年4月23日,在双威镇国民中学移交雪州人民补习班和2026年关爱教育计划教学模块给各校代表。

Dalam usaha memperkukuh pencapaian akademik secara lebih menyeluruh, Yayasan Menteri Besar Selangor Incorporation (Yayasan MBI) di bawah  Menteri Besar Selangor (Incorporation) (MBI) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) melaksanakan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan Program Didik Kasih (PDK) sebagai intervensi pembelajaran untuk murid yang memerlukan sokongan tambahan.

Kedua-dua program menggunakan modul pembelajaran yang diselaraskan serta pendekatan yang lebih berfokus bagi memperkukuh penguasaan mata pelajaran teras dan STEM. Belanjawan Selangor 2026 memperuntukkan RM12 juta bagi pelaksanaan kedua-dua program ini yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 140,000 murid di seluruh negeri.

Membuka laluan ke pendidikan tinggi dan kemahiran

Menamatkan persekolahan bukanlah penamat kepada perjalanan pendidikan seseorang. Sebaliknya, peringkat selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sering menjadi titik penentu yang mempengaruhi hala tuju masa depan, sama ada melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi, mengikuti latihan TVET atau memasuki alam pekerjaan.

Pelajar Kolej Komuniti Selayang sedang melukis menggunakan teknik digital drawing ketika laporan khas TVET di Kolej Komunii Selayang pada 14 November 2025.Foto HARUN TAJUDIN /MEDIA SELANGOR

Oleh itu, memastikan laluan pendidikan ini kekal terbuka kepada semua merupakan sebahagian daripada usaha membangunkan modal insan negeri.

Bagi mengurangkan halangan kewangan pada peringkat awal pengajian, Kerajaan Negeri Selangor menyediakan Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi Selangor (HPIPT), iaitu bantuan tunai sekali bayar sebanyak RM1,000 kepada pelajar tahun pertama sepenuh masa daripada keluarga berpendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah yang melanjutkan pengajian di peringkat Sijil Kemahiran Tahap 4, Diploma atau Ijazah Sarjana Muda.

Di samping itu, Yayasan Selangor turut menawarkan kemudahan pinjaman pelajaran bagi membantu pelajar yang layak meneruskan pengajian. Pendekatan ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan faktor ekonomi tidak menjadi penghalang kepada akses pendidikan tinggi.

Selain laluan akademik, pembangunan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) turut diberi penekanan sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan modal insan. Menerusi Inisiatif Kemahiran Teknikal Ikhtisas dan Smart Selangor (IKTISASS), kerajaan negeri menyediakan peluang latihan kemahiran dalam bidang yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran pekerjaan.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenaan bersama pelajar dan pengajar dalam majlis Hari Terbuka TVET 2025 Yayasan Raja Muda Selangor di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Dusun Tua, Hulu Langat pada 6 November 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Penekanan terhadap TVET memperlihatkan bahawa pembangunan modal insan tidak lagi bergantung kepada satu laluan akademik semata-mata, sebaliknya mengiktiraf kepelbagaian bakat, kemahiran dan aspirasi generasi muda.

Menyediakan generasi masa hadapan

Perubahan pesat dalam kecerdasan buatan (AI), automasi, ekonomi hijau dan Industri 5.0 menuntut sistem pendidikan yang lebih responsif terhadap perubahan.

Dalam konteks ini, pendidikan STEM, kemahiran digital dan TVET bukan lagi pilihan, tetapi keperluan. Belanjawan Selangor 2026 memperuntukkan RM250,000 bagi memperkukuh Program Intervensi STEM Selangor melalui aktiviti berasaskan pengalaman (hands-on), reka bentuk kejuruteraan dan penyelesaian masalah bagi meningkatkan minat serta penguasaan murid dalam bidang STEM.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2025 dan Pertukaran MoU dan MoA antara PPAS dengan UKM di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 25 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Pada masa yang sama, usaha membangunkan masyarakat yang celik teknologi turut diperkasakan melalui Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS). Hari ini, perpustakaan awam bukan lagi sekadar tempat meminjam buku, tetapi berkembang sebagai hab pembelajaran sepanjang hayat.

Melalui Makerspace @ Raja Tun Uda, PPAS menyediakan ruang pembelajaran berasaskan STEAM yang dilengkapi dengan kemudahan seperti pencetak 3D, robotik, Arduino dan teknologi kreatif lain bagi menggalakkan inovasi serta pembelajaran berasaskan pengalaman.

Di samping itu, Skim Pinjaman Teknologi Asas Selangor (SEPINTAS) membantu mengurangkan jurang digital dengan menyediakan pinjaman komputer desktop dan komputer riba kepada golongan yang memerlukan, khususnya pelajar serta kumpulan berpendapatan rendah.

Pendekatan ini memperlihatkan bahawa pembelajaran pada abad ke-21 tidak lagi terhad kepada bilik darjah, tetapi berlangsung dalam pelbagai ruang yang menyokong pembangunan ilmu dan kemahiran secara berterusan.

Ekosistem sebagai kunci transformasi

Kekuatan sebenar landskap pendidikan Selangor bukan terletak pada banyaknya program yang diperkenalkan, tetapi pada keupayaan membina ekosistem yang menghubungkan pelbagai institusi dan pemegang taruh.

Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Yayasan Selangor, Yayasan MBI, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), institusi TVET, institusi pengajian tinggi, industri dan komuniti masing-masing memainkan peranan yang saling melengkapi dalam memperkukuh pembangunan pendidikan negeri.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banting menyertai Program MyGreen Future yang mengitar semula sisa makanan kepada baja organic. Foto Ihsan Dr Aisha Mohd Din

Pendekatan sedemikian mencerminkan amalan whole-of-government dan whole-of-society, iaitu pembangunan pendidikan digerakkan secara kolektif merentasi agensi kerajaan, institusi pendidikan, sektor industri dan masyarakat.

Pendekatan ini semakin penting memandangkan cabaran pendidikan masa kini, termasuk transformasi digital, jurang pembelajaran, kebolehpasaran graduan dan pembangunan bakat, tidak lagi boleh ditangani oleh satu institusi secara bersendirian.

Sebaliknya, ia memerlukan penyelarasan dasar, sumber dan kepakaran daripada pelbagai pihak dalam satu ekosistem yang saling melengkapi.

Ke arah ekosistem pendidikan yang mampan

Pengalaman Selangor memperlihatkan bahawa peranan kerajaan negeri dalam pendidikan bukanlah mengambil alih tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, tetapi melengkapkan usaha tersebut melalui dasar sokongan, insentif dan kerjasama strategik.

Pendekatan inilah yang membolehkan pendidikan berkembang sebagai satu ekosistem yang menyokong perjalanan seseorang daripada alam persekolahan, ke pendidikan tinggi, latihan kemahiran, pembelajaran sepanjang hayat dan akhirnya ke alam pekerjaan.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Sungai Kertas mengibar Bendera Selangor ketika menyambut ketibaan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah melawat Tapak Projek Angkat GRS sempena Gagasan Rumpun Selangor 2.0 Daerah Gombak pada 16 Jun 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Pada akhirnya, kekuatan sesebuah negeri tidak diukur melalui banyaknya program pendidikan yang diperkenalkan, tetapi melalui keupayaannya menyelaras dasar, institusi dan masyarakat dalam melahirkan modal insan yang mampu bersaing pada peringkat global.

Dalam hal ini, pengalaman Selangor menunjukkan bahawa apabila semua pihak bergerak dalam satu hala tuju yang sama, pendidikan bukan sahaja menjadi instrumen pembangunan modal insan, malah menjadi pemangkin kepada daya saing negeri dan kemajuan negara.

Dr. Nur 'Adnin Syamil binti Halik Bassah adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Pendidikan, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). 

Kategoripendapat

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.