Polis jamin keselamatan atlet sepanjang SUKMA Selangor

23 Jul 2026, 2:16 AM
Polis jamin keselamatan atlet sepanjang SUKMA Selangor

SHAH ALAM, 23 JULAI: Polis Selangor memberi jaminan keselamatan kepada semua atlet yang akan menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor XXII menjelang penganjuran temasya itu pada pertengahan Ogos.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, aspek keselamatan akan diselaraskan bersama pentadbiran Kerajaan Negeri bagi memastikan segala urusan dan persiapan menjelang temasya itu berjalan lancar.

"Alhamdulillah, Selangor akan menjadi tuan rumah bagi SUKMA pada kali ini dan bagi tujuan itu, pihak penganjur SUKMA sudah lama berhubung dengan pihak Polis Selangor berkenaan bantuan dari segi kawalan keselamatan.

"Kita juga akan pastikan keselamatan atlet-atlet daripada negeri-negeri lain yang datang untuk bersukan di negeri Selangor akan sentiasa terjaga dan terpelihara. Keselamatan mereka adalah terjamin," katanya pada sidang media semalam seperti dilapor Harian Metro.

Shazeli berkata jumlah anggota yang akan ditugaskan masih belum diputuskan kerana pihaknya sedang memuktamadkan perancangan operasi keselamatan.

Kelmarin, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari memaklumkan Dataran Kemerdekaan Shah Alam dipilih sebagai venue majlis perasmian pembukaan SUKMA 2026, manakala majlis penutupan akan berlangsung di Aneka Walk, Seksyen 14 di sini.

Menurut beliau, pemilihan kedua-dua lokasi itu bertujuan memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan temasya berkenaan dengan lebih dekat serta menyertai pelbagai aktiviti dan persembahan yang disediakan.

SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, melibatkan 469 acara daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan di 52 venue merentasi sembilan daerah.

Temasya itu akan disusuli PARA SUKMA 2026 dari 5 hingga 14 September, melibatkan 316 acara dalam 10 jenis sukan iaitu renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang, memanah, catur, boccia dan powerlifting.

Semua kontinjen negeri akan mengambil bahagian dalam temasya itu, selain Brunei Darussalam yang sah menyertai sebagai kontinjen jemputan, menjadikan keseluruhan 15 kontinjen bertanding.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.