Pembinaan Seksyen D ECRL bermula, hubungkan Pelabuhan Klang ke Northport, Westports

23 Jul 2026, 1:56 AM
Pembinaan Seksyen D ECRL bermula, hubungkan Pelabuhan Klang ke Northport, Westports

SHAH ALAM, 23 JULAI: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencapai satu lagi kemajuan apabila pembinaan Seksyen D sepanjang 25 kilometer (km) dimulakan, sekali gus melengkapkan sambungan strategik ke dua pelabuhan utama negara, Northport dan Westports.

Jajaran baharu itu akan menghubungkan Stesen Jalan Kastam di Pelabuhan Klang secara terus ke kedua-dua pelabuhan berkenaan, sekali gus memperkukuh rangkaian logistik negara menerusi sistem pengangkutan rel yang lebih cekap.

Kontraktor Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) projek ECRL, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) meraikan permulaan pembinaan fasa kritikal itu susulan kelulusan kerajaan terhadap skop projek yang disemak semula pada 2025.

Pelaksanaan pembinaan Seksyen D turut disokong menerusi pemeteraian Perjanjian Tambahan Ke-7 (SA7) bagi kontrak EPCC ECRL yang membuka laluan strategik untuk menghubungkan rangkaian ECRL terus ke Northport dan Westports.

Seksyen D memainkan peranan penting dalam melengkapkan konsep 'jambatan darat' ECRL yang menghubungkan pelabuhan di Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Jajaran itu dibangunkan menggunakan konfigurasi landasan berkembar yang menggabungkan landasan tolok standard baharu dengan landasan tolok meter sedia ada milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Penyepaduan kedua-dua sistem rel itu dijangka mengoptimumkan perkhidmatan kargo merentasi rangkaian ECRL dan KTMB, selain meningkatkan kapasiti pengangkutan barangan serta kecekapan operasi logistik secara menyeluruh.

Pengarah Urusan CCCECRL, Deng Bo berkata jajaran utama ECRL kini semakin hampir disiapkan dan telah memasuki fasa akhir ujian serta pentauliahan.

"Seksyen D menandakan lembaran baharu dalam memperkukuh kesalinghubungan rel di Malaysia. Berbekalkan rekod prestasi yang terbukti, CCCECRL kekal komited menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial negara menerusi penyampaian infrastruktur rel bertaraf dunia," katanya.

Apabila siap sepenuhnya kelak, Seksyen D akan menyediakan kesalinghubungan rel yang lancar antara kawasan depoh kereta api di Kuantan Port, Northport dan Westports.

Inisiatif mengalihkan pengangkutan kargo daripada jalan raya kepada mod rel itu juga dijangka mengurangkan kesesakan lalu lintas serta kebergantungan terhadap kenderaan berat, sekali gus menyumbang kepada operasi logistik yang lebih mampan.

Jajaran ECRL sepanjang 665 km dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang dijadual beroperasi secara berfasa.

Laluan Kota Bharu ke Gombak pula disasar siap pada Disember 2026 sebelum memulakan operasi komersial pada Januari 2027, manakala jajaran Gombak ke Pelabuhan Klang dijangka siap pada Disember 2027 dengan operasi penuh bermula Januari 2028.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.