SHAH ALAM, 23 JULAI: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memperhebat usaha membendung penularan denggi dengan memantau 11 lokasi hotspot susulan peningkatan kes penyakit itu di kawasan pentadbirannya tahun ini.
Datuk Bandar Subang Jaya, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata sebanyak 2,533 kes direkodkan sehingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-27, meningkat 25.15 peratus berbanding 2,024 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Menurutnya, Jabatan Kesihatan MBSJ bersama Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dan agensi berkaitan melaksanakan pelbagai langkah bagi mengawal penularan wabak berkenaan.
"Antara tindakan yang dijalankan ialah pemeriksaan untuk mengenal pasti serta melaporkan lokasi pembiakan nyamuk Aedes, selain rawatan larvasid dan operasi semburan kabus (fogging).
"Usaha memerangi denggi memerlukan kerjasama semua pihak. MBSJ menyeru orang ramai menghapuskan semua tempat pembiakan nyamuk di kawasan masing-masing," katanya pada mesyuarat penuh MBSJ pada Selasa seperti dilapor StarMetro.
Mesyuarat itu merupakan mesyuarat penuh terakhir beliau sebagai Datuk Bandar selepas menamatkan tempoh perkhidmatan selama dua tahun.

Dalam perkembangan lain, Amirul Azizan berkata sebanyak 565 kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang menerusi inisiatif Selangor Intelligent Parking (SIP).
Menurutnya, setakat ini sebanyak 140 CCTV telah dipasang, dengan 42 daripadanya sudah beroperasi.
"MBSJ turut merancang memasang 300 lagi CCTV berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dilengkapi keupayaan pengecaman wajah yang dipertingkatkan.
"Peruntukan bagi pemasangan kamera ini akan dimasukkan dalam Belanjawan 2027," katanya.
Beliau turut memaklumkan MBSJ telah menjalankan kajian placemaking di SS15 pada 14 Julai lalu bagi mendapatkan maklum balas orang ramai untuk menambah baik ruang awam.
Sementara itu, mengulas cadangan Ahli Majlis Lee Jen Uyin supaya waktu penguatkuasaan parkir ditamatkan pada jam 5.30 petang berbanding 6.30 petang ketika ini, Amirul Azizan berkata waktu operasi sedia ada adalah seragam di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.
Katanya, sebarang perubahan hanya boleh dibuat selepas pindaan terhadap undang-undang kecil berkaitan diluluskan.







