MBSJ teruskan naik taraf sistem saliran, cegah banjir kilat

9 Jan 2026, 1:00 PM
MBSJ teruskan naik taraf sistem saliran, cegah banjir kilat

SUBANG JAYA, 9 JAN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) akan meneruskan kerja naik taraf sistem saliran sebagai langkah berterusan bagi mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan bandar raya itu.

Datuk Bandar Subang Jaya, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata pelbagai usaha tebatan yang dilaksanakan sebelum ini, termasuk pemasangan pintu kawalan banjir serta tindakan segera di lokasi berisiko, menunjukkan kesan positif apabila Selangor tidak mengalami banjir besar pada Disember lalu.

“Alhamdulillah, kita bersyukur kerana tidak berlaku banjir yang teruk dan apa yang berlaku hanyalah banjir kilat, hasil perancangan serta kerja-kerja tebatan yang telah dilaksanakan,” katanya selepas majlis angkat sumpah Ahli Majlis MBSJ di sini, hari ini.

Menurut beliau, kejayaan itu tidak seharusnya menjadikan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berada dalam zon selesa, sebaliknya usaha penyelenggaraan dan penambahbaikan sistem saliran perlu diteruskan secara berterusan.

Katanya, kerja-kerja naik taraf saliran dan longkang akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan aliran air lancar dan tidak terjejas, khususnya ketika hujan lebat.

Langkah berterusan itu, katanya, merupakan antara fokus utama majlis bandaraya dalam memastikan kesejahteraan penduduk serta mengurangkan impak bencana berkaitan cuaca di kawasan bandar.

Terdahulu, seramai 24 Ahli Majlis MBSJ mengangkat sumpah dan menandatangani watikah pelantikan bagi penggal 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2027, melibatkan 10 muka baharu manakala 14 lagi dilantik semula.