KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengemukakan kira-kira 1.2 juta permohonan kepada penyedia platform media sosial bagi menurunkan kandungan tidak sesuai sepanjang tempoh 1 Januari 2022 hingga 15 Julai lalu.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata langkah itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan memastikan ekosistem digital negara kekal selamat daripada penyebaran kandungan berbahaya.
Beliau berkata jumlah permohonan meningkat 57 peratus, daripada 309,322 kandungan pada 2024 kepada 485,175 kandungan pada 2025.
"Bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Julai tahun ini sahaja, SKMM telah mengemukakan 377,502 permohonan kepada penyedia platform media sosial untuk menurunkan kandungan, iaitu bersamaan kira-kira 78 peratus daripada jumlah permohonan sepanjang tahun lalu.
"Secara purata, SKMM mengemukakan kira-kira 1,900 permohonan setiap hari bagi memastikan kandungan yang melanggar undang-undang serta membahayakan pengguna dapat diturunkan dengan segera," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 di Hotel Shangri-La di sini, hari ini.
Sementara itu, Nie Ching berkata IRC 2026 menghimpunkan lebih 500 peserta dari Malaysia dan negara ASEAN sebagai platform bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman mengenai cabaran dan perkembangan landskap digital.
Katanya, persidangan itu turut menjadi wadah kepada pengawal selia, penggubal dasar dan pemain industri membincangkan kaedah memanfaatkan inovasi teknologi bagi mewujudkan lebih banyak peluang, di samping mengurus risiko tanpa menjejaskan kemajuan digital.
IRC 2026 melabuhkan tirainya hari ini selepas berlangsung selama dua hari dengan menampilkan 10 sesi dialog yang memfokuskan pengurusan data, pendigitalan, teknologi robotik dan pengkomputeran kuantum.
Persidangan itu menghimpunkan pakar teknologi, pengawal selia dan pemain industri dari dalam serta luar negara bagi berkongsi pandangan mengenai cabaran dan hala tuju ekosistem digital.







