Pelajar 10A semua kaum layak masuk matrikulasi secara automatik - Anwar

22 Jul 2026, 11:16 AM
Pelajar 10A semua kaum layak masuk matrikulasi secara automatik - Anwar

SEREMBAN, 22 JULAI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan kerajaan dalam pengambilan pelajar ke program matrikulasi mengambil kira kecemerlangan akademik serta keperluan golongan kurang berkemampuan bagi memastikan akses pendidikan yang lebih adil.

Beliau berkata pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), akan diberikan peluang kemasukan secara automatik tanpa mengira kaum.

“….yang paling pandai, yang dapat 10A, kita bagi automatik masuk, kaum Cina, India atau Melayu.

“Pada masa sama, kuota bumiputera terus dikekalkan dengan mengambil kira faktor demografi serta keperluan membantu pelajar dari kawasan luar bandar dan pedalaman, termasuk di Sabah dan Sarawak,” kata beliau di sini hari ini.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Rakan Muda di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) di Paroi, yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri turut menegaskan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu golongan miskin meliputi semua kaum berasaskan keperluan memandangkan ia merupakan tuntutan keadilan.

“Kalau ada orang India miskin atau Cina miskin, kita bantu. Apa ruginya kita berlaku adil kepada semua yang memerlukan,” kata beliau.

Dalam pada itu, Anwar turut mengulangi seruan untuk rakyat menghayati cogan kata “Bersekutu Bertambah Mutu” yang diperkenalkan ketika negara mencapai kemerdekaan sebagai asas memperkukuh perpaduan dalam masyarakat majmuk.

Beliau berkata Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj memilih cogan kata itu kerana memahami realiti Malaysia sebagai sebuah negara terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, sekali gus menunjukkan perpaduan dan permuafakatan adalah jalan untuk memastikan negara terus aman dan makmur.

Anwar turut mengingatkan generasi muda supaya tidak mudah terpengaruh dengan pihak yang memainkan sentimen perkauman dan agama demi kepentingan politik.

“Saya sudah tua, saya pernah melihat bagaimana isu kaum boleh menggugat keharmonian negara, jangan ulangi kesilapan itu, tiada jalan lain selain kita bersatu dan bermuafakat,” kata beliau.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia, tanpa menafikan hak rakyat menguasai bahasa lain seperti bahasa Cina, Tamil, Inggeris dan Arab.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.