SHAH ALAM, 22 JAN: Pengalihan pelajar tingkatan enam dan matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mulai tahun depan dilihat mampu memperkukuh sistem pendidikan negara serta lebih selari dengan keperluan industri masa depan.
Tokoh pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata langkah tersebut membolehkan kementerian merangka kurikulum yang lebih bersesuaian, sekali gus menyediakan pelajar dengan persediaan lebih kukuh sebelum melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi (IPT).
“Ini merupakan satu kebaikan kepada sistem pendidikan negara kerana pelajar dapat menerima kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih sesuai sebelum melangkah ke peringkat seterusnya.
“Di bawah KPT, pelajar juga berpeluang meneroka pelbagai bidang kerana keperluannya berbeza berbanding sistem sekolah. Pendekatan ini sekali gus dapat memenuhi keperluan universiti.
“Selama ini, sekolah hanya menyediakan asas pendidikan, namun apabila berada di bawah KPT, pelajar boleh disalurkan terus ke bidang tertentu seperti ekonomi, perubatan atau statistik data. Fakulti pula boleh membuat persediaan lebih awal, sekali gus menjamin manfaat besar kepada pelajar dan sistem pendidikan,” katanya kepada Media Selangor.
Secara menyeluruh, Alimuddin berpandangan Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 berupaya melonjakkan kualiti sistem pendidikan negara agar lebih relevan dengan perkembangan semasa dunia, di samping memperkukuh peranan KPT dan Kementerian Pendidikan.
Rancangan yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini merupakan iltizam Kerajaan MADANI dalam memperkukuh sistem pendidikan bermutu, terangkum serta berdaya saing pada peringkat global.
Di peringkat KPT, pelan 10 tahun tersebut menjadi dokumen hala tuju utama pembangunan pendidikan tinggi negara, sekali gus menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015–2025 (Pendidikan Tinggi).
Rancangan berkenaan dirangka menerusi proses libat urus berskala besar, melibatkan 181 pakar tempatan serta 8,226 pihak berkepentingan merangkumi sarjana, tokoh akademik, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, pemain industri serta wakil masyarakat daripada pelbagai latar belakang.


