SHAH ALAM, 22 JAN: Rata-rata ibu bapa menyokong cadangan memindahkan pengurusan program matrikulasi dan tingkatan enam ke Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), namun memberi amaran agar pelaksanaannya tidak dibuat secara tergesa-gesa.
Seorang bapa, Mohd Daei Musa, 53, berpandangan tingkatan enam sememangnya berada pada tahap pendidikan tinggi, justeru wajar diletakkan di bawah KPT, namun pelaksanaan segera dibimbangi memberi kejutan kepada pelajar.
“Pada saya tiada masalah diletakkan bawah KPT kerana tingkatan enam memang peringkat tinggi. Cuma kalau dikuatkuasakan seawal tahun depan, ia agak drastik.
“Skop atau silibus mungkin berubah dan meluas, jadi kerajaan perlu bincang terlebih dahulu supaya pelajar dan ibu bapa tidak terkejut,” katanya kepada Media Selangor.

Pandangan sama disuarakan Mariam Muhammad, 51, yang berharap perubahan itu dibuat secara berperingkat bagi memberi ruang penyesuaian.
“Sepatutnya dilaksanakan sedikit lewat kerana bimbang ramai tidak dapat ‘catch up’. Saya ada tiga anak dan yang bongsu kini di tingkatan lima, memang ada perancangan untuk hantar ke matrikulasi.
“Sebab itu saya harap kerajaan lebih jelas dengan inisiatif ini dan tidak membuat perubahan secara mendadak,” katanya.
Sementara itu, Ariffin Abd Rahman, 55, melihat cadangan tersebut mempunyai kelebihan kerana pendekatannya lebih hampir kepada sistem universiti, namun menegaskan keperluan perancangan rapi.
“Ada kebaikan kerana mungkin gaya pembelajaran lebih ke arah universiti, tetapi kerajaan jangan terlalu cepat. Perlu ada perancangan yang betul.
“Kalau boleh, wujudkan satu saluran jelas dan terus ke universiti supaya pelajar tidak perlu melalui sistem UPU. Ini melibatkan masa depan anak-anak,” katanya.



