SHAH ALAM, 16 DIS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa turun padang dan bertemu penduduk bagi memberikan pencerahan mengenai isu pembinaan klinik kesihatan di Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, Datuk Jahaya Ibrahim berkata pihaknya tidak mempunyai maklumat berhubung dakwaan pembatalan pembinaan klinik kesihatan yang membabitkan enam unit rumah kedai di Fasa 3, Alam Suria.
Jika perkara tersebut benar, menurut Jahaya, KKM perlu mencari lokasi baharu untuk pembinaan klinik kesihatan di Bandar Puncak Alam bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.
“Saya tidak mempunyai maklumat berhubung pembatalan pembinaan klinik kesihatan. Tetapi jika betul (batal), perlu cari tempat baharu semula. Buat saja (klinik kesihatan) di mana-mana tempat dalam kawasan ini.
“Cuma, saya difahamkan sebelum ini wakil menteri kesihatan ada maklumkan kepada penduduk mengenai cadangan rumah kedai dijadikan pusat kesihatan. Ia dibentangkan awal tahun ini, memang penduduk tunggu-tunggu,” katanya kepada Media Selangor.
Terdahulu, penduduk Bandar Puncak Alam meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial berhubung pembatalan cadangan pembinaan klinik kesihatan di enam unit rumah kedai yang kini digantikan dengan sebuah pasaraya.
Rata-rata penduduk menuntut supaya kemudahan klinik kesihatan yang dirancang diwujudkan sejak tahun lalu, disegerakan untuk menampung keperluan perubatan kira-kira 200,000 penduduk di lebih 40 taman perumahan di situ.
Ketika ini, kawasan Bandar Puncak Alam hanya memiliki sebuah klinik desa yang beroperasi di premis rumah dua tingkat yang berada di dalam kawasan perumahan.
Sementara itu, Media Selangor sudah menghubungi pegawai Ahli Parlimen Kuala Selangor yang juga Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
Media Selangor dimaklumkan, Dr Dzulkefly sedang berada di Johor bagi memenuhi jemputan acara dan akan memberikan kenyataan media dalam masa terdekat.
Pada Februari 2023, KKM dilapor akan membina klinik kesihatan di Bandar Seri Coalfields membabitkan kawasan seluas enam ekar, khusus bagi menampung keperluan penduduk Puncak Alam.
Perkara itu diumumkan selepas penyerahan bayaran premium tanah bagi pihak Pejabat Tanah Daerah Kuala Selangor daripada wakil Kementerian Kesihatan sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang peringkat Kuala Selangor.
Untuk rekod, jarak antara Bandar Puncak Alam dan kemudahan hospital awam terdekat adalah di Hospital Sungai Buloh dengan jarak sejauh kira-kira 32 kilometer (km).


